Bukit Aman siasat salah laku polis berkait pemandu OKU diserang

Bukit Aman siasat salah laku polis berkait pemandu OKU diserang

Peguam N Surendran berkata polis beri petunjuk pelaku adalah polis pengiring.

Peguam N Surendran berkata polis teliti penarikan laporan pertama Ong Ing Keong dan apa diperkatakan sebagai ‘penyelesaian’ kes.
PETALING JAYA:
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard menjalankan siasatan dalaman dakwaan serangan terhadap pemandu e-hailing di bawah salah laku disiplin, kata peguam N Surendran.

Bercakap kepada pemberita di pekarangan Bukit Aman bersama mangsa, Ong Ing Keong, Suren berkata polis memberi petunjuk kepada mereka bahawa pelaku adalah polis pengiring.

Katanya, polis juga melihat kepada laporan pertama Ong yang ditarik balik dan apa diperkatakan ‘penyelesaian’ kes.

“Polis sedang meneliti semua keadaan – berkait penarikan semula (laporan polis pertama), siapa terlibat dalam penarikan, apa berlaku – itu sebab mengapa kita berada di sana hampir empat jam,” katanya.

Terdahulu, Surendran dan Ong tiba di Bukit Aman pagi tadi untuk diambil keterangan.

Surendran berkata, tiada penjelasan memuaskan diberi berkait insiden, dan terdapat keterangan mencukupi membuktikan serangan memang berlaku.

“Ada video ‘dashcam’ (kamera papan pemuka). Saya telah tengok video, polis juga tengok. Jelas daripada video memang berlaku serangan.

“(Polis) ada (video itu). Saya harap berdasarkan itu, polis dan pihak berkuasa semua segera bertindak,” katanya.

Surendran juga berkata, pihak berkuasa juga perlu menyemak peraturan kawal selia sedia ada melibatkan pengiring kenamaan demi memastikan insiden sama tidak berulang.

Minggu lalu, Ong mendakwa diserang polis pengiring kenamaan ketika menunggu penumpang di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Pada Rabu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain, berkata polis menyiasat pengiring itu kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.