Bina rumah mampu milik seiring kualiti, pemaju diberitahu

Bina rumah mampu milik seiring kualiti, pemaju diberitahu

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata kerajaan perlu memastikan pemaju membina rumah berkualiti dan tidak mengabaikan pembeli sekiranya berlaku kerosakan.

Wan Saiful Wan Jan menggesa kerajaan memantau pembinaan rumah mampu milik untuk mengelakkan masalah pada masa depan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang wakil rakyat pembangkang berkata gesaan menggalakkan pembinaan rumah mampu milik harus seiring dengan memastikan kualiti kediaman supaya tidak merugikan pembeli.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata beliau menyokong saranan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong semalam berhubung keperluan membina rumah mampu milik di bandar untuk memudahkan pekerja muda, namun turut menekankan di pinggir bandar.

Bagaimanapun, katanya dalam usaha menggalakkan pembinaan rumah murah, kerajaan perlu memastikan pemaju membina rumah berkualiti dan tidak mengabaikan pembeli sekiranya berlaku kerosakan.

Beliau mengambil contoh pemaju di kawasan Parlimennya Tasek Gelugor yang mana dakwanya sebuah syarikat pemaju perumahan besar bersikap acuh tidak acuh untuk membaiki kerosakan rumah pembeli.

“Dinding retak, pintu tercabut, simen beralun dan banyak lagi. Selepas saya masuk campur, ada sedikit penambahbaikan tetapi hanya sementara saja,” katanya dalam kenyataan.

Wan Saiful Wan Jan.

“Benar, kita perlu lebih banyak rumah mampu milik tapi kerajaan mesti pastikan pemaju bertanggungjawab dan jangan menganiaya dan membuli pembeli rumah mampu milik.

“Pengalaman pembeli rumah di Tasek Gelugor menunjukkan betapa pentingnya sektor rumah mampu milik diselia lebih ketat,” katanya.

Semalam, Liew menggesa kerajaan membina rumah mampu milik di dalam kawasan bandar untuk memenuhi permintaan anak muda bekerja berpendapatan kurang RM5,000.

Menurutnya, gaya hidup barat diamalkan di Malaysia seperti penggunaan kenderaan individu kurang baik untuk alam sekitar dan memakan belanja besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.