
Hakim Mahkamah Tinggi Jamil Hussin membenarkan permohonan penangguhan peguam K Kumaraendran dan Shafee Abdullah, masing-masing mewakili Irwan dan Najib untuk menangguhkan kes berikutan terdapat lebih 100 dokumen belum diserahkan kepada pihak pembelaan.
Permohonan pembelaan juga tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saiffudin Hashim Musaimi.
“Perbicaraan ditangguhkan sehingga 19 Jun untuk memberi peluang kepada pihak pendakwaan untuk meneliti dokumen untuk diserahkan kepada pembelaan.
“Dua minggu memadai untuk pembelaan meneliti dokumen dan menyediakan pembelaan, perbicaraan akan bermula 19 Jun ini,” kata Jamil.
Terdahulu, Kumaraendran berkata antara dokumen yang masih belum diterima ialah memo surat mesyuarat Jemaah Menteri, emel yang merujuk kepada pernyataan saksi pembelaan serta kenyataan yang dirakamkan saksi-saksi kepada pegawai penyiasat.
“Kami juga memaklumkan kepada pihak pendakwaan bahawa kenyataan beramaran itu telah dipinda oleh anak guam kami semasa siasatan…ia tidak pernah disampaikan kepada kami walaupun telah diberikan peringatan kepada mereka. Yang Arif, saya juga ingin memaklumkan kepada mahkamah bahawa abang ipar saya meninggal dunia hari ini dan sebagai abang sulung saya perlu berada di krematarium pada pukul 12 tengah hari,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Shafee turut memohon mahkamah untuk menangguhkan perbicaraan hari ini kerana terdapat banyak lagi dokumen yang belum diserahkan oleh pihak pendakwaan.
“Kami menjangkakan pihak pendakwaan akan menyerahkan kepada kami (dokumen itu selewat-lewatnya hari ini). Terdapat tujuh jilid dokumen yang perlu disemak.
“Dokumen yang tidak ada ini akan menyebabkan banyak penangguhan sekiranya perbicaraan bermula hari ini. Melainkan sehingga kami melihat bagaimana pihak pendakwaan membawa kes menggunakan dokumen mereka, kami tidak dapat melihat keterangan dalam pembelaan kami,” kata Shafee.
Shafee berkata terdapat juga perbicaraan lain yang sedang dijalankan melibatkan Najib dengan pasukan pembelaan yang sama, iaitu kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan saman sivil SRC International Sdn Bhd.
“Bagi 1MDB, kami sedang dalam penyediaan penghujahan dan seluruh pasukan saya telah terlibat dan saya mesti katakan kami keletihan tetapi kami mengejar untuk menyelesaikan penghujahan itu pada bulan Julai.
“Kalau Yang Arif mahukannya, kita boleh pecahkan tarikh itu kerana ada hari antaranya, saya pasti kita boleh cari hari, jika tidak perbicaraan ini hanya akan bermula pada 2025,” katanya.
Pada peringkat ini, Muhammad Saifuddin berkata pihaknya telah menyerahkan dokumen sebanyak empat peringkat sejak 2018 sehingga 2021.
“Pada pagi ini, kita telah sediakan tujuh bundle dokumen untuk dirujuk kepada saksi-saksi dan serah kepada pembelaan untuk disemak semula, kalau tiada (dokumen) kami terpaksa rujuk kepada pegawai penyiasat sama ada kita pernah rampas atau ada dalam simpanan mereka. Untuk kelancaran perbicaraan ini, saya tidak membantah jika ia (perbicaraan) ditangguhkan,” katanya.
Pada 24 Okt 2018, Najib, 70, dan Irwan, 66, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (Ipic).
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.