Bicara Dzulkefly saman Najib ditangguh, peguam tarik diri

Bicara Dzulkefly saman Najib ditangguh, peguam tarik diri

Saman fitnah Dzulkefly Ahmad terhadap bekas perdana menteri akan bermula 5 Mac 2025.

Dzulkefly Ahmad kemuka saman terhadap Najib Razak berhubung hantaran di Facebook empat tahun lalu mendakwa beliau mengamalkan nepotisme dalam pelantikan anak perempuan sebagai Ahli Lembaga Pengarah AIM.
KUALA LUMPUR:
Perbicaraan tiga hari saman fitnah melibatkan Dzulkefly Ahmad terhadap Najib Razak berhubung dakwaan nepotisme dibuat bekas perdana menteri itu dalam Facebook, empat tahun lalu ditangguh ke tahun depan.

Peguam SN Nair, mewakili Dzulkefly, memaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Apandi bahawa beliau berhasrat menarik diri mewakili plantif, pada perbicaraan hari ini.

Nair tidak memberi alasan berbuat demikian.

Peguam Farhan Shafee, mewakili Najib tidak membantah.

Arziah membenarkan permohonan Nair dan menetapkan tarikh perbicaraan bermula 5 Mac 2025.

Beliau juga menetapkan pengurusan kes pada 10 Julai dan melapangkan semua pendengaran ditetapkan pada minggu berkenaan.

Dzulkefly memfailkan saman atas kapasiti peribadi pada 31 Dis 2021, terhadap dakwaan Najib bahawa beliau mengamalkan nepotisme dengan penawaran jawatan melibatkan anak perempuan, Nurul Iman, sebagai Ahli Lembaga Amanah Ikhtiar, dua tahun terdahulu.

Dalam pernyataan tuntutan, Dzulkefly berkata hantaran Najib pada 24 Ogos 2020 dilapor Malay Mail, dianggap memfitnahnya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, berkata hantaran Najib masih wujud dalam akaun Facebook miliknya sehingga November 2021.

Dzulkefly mendakwa pelantikan Nurul Iman dibuat sebelum beliau menjadi menteri kesihatan dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), dan anaknya itu dilantik semula oleh agensi pemberi kredit mikro berkenaan pada 2021.

Najib bergantung kepada justifikasi pembelaan, perlindungan bersyarat, dan komen berpatutan.

Katanya, hantaran Facebook dikepilkan bersama tangkap layar artikel Sinar Harian pada 28 Jan 2019 – 19 bulan sebelum hantaran dibuat bekas perdana menteri itu. Najib turut mendakwa hantaran bagi membenarkan orang ramai menilai isu berkenaan secara adil.

Najib berkata, beliau menekankan ‘hipokrasi’ gabungan PH mendakwa nepotisme dan kronisme dalam pelantikan politik dibuat pentadbiran Barisan Nasional.

Katanya dalam pernyataan pembelaan, ia bertujuan menunjukkan pelantikan tersebut berlaku dalam pelbagai syarikat berkaitan kerajaan ketika PH menerajui kerajaan antara Mei 2018 hingga Februari 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.