
Ketua Pengarahnya, Abdul Kadir Abu Hashim berkata, konflik tersebut kebiasaannya akan mengakibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, dan juga tanaman.
“Tidak dinafikan kehilangan dan pengecilan kawasan habitat keliaran turut memberi ancaman kepada spesies hidupan liar.
“Pengecilan kawasan habitat menyebabkan hidupan liar keluar untuk mencari kawasan habitat baru dan keadaan ini akan menyebabkan berlakunya pertembungan antara hidupan liar dengan manusia yang akhirnya akan mencetuskan konflik yang membawa kepada kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan tanaman,” katanya, kepada FMT.
Abdul Kadir mengulas laporan badan pemantau alam sekitar RimbaWatch baru-baru ini yang memberi amaran kira-kira 3.2 juta hektar hutan semula jadi atau bersamaan kawasan sebesar Pahang berada di bawah ancaman penebangan hutan.
Laporan tahunan bertajuk “State of the Malaysian Rainforest” itu juga mendedahkan kira-kira 2.4 juta hektar atau kawasan bersamaan saiz Johor dan Negeri Sembilan digabungkan berada di bawah ancaman ladang kayu.
RimbaWatch juga menggesa semua penukaran hutan simpan kepada ladang kayu dihentikan segera.
Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata pihaknya turut terlibat dalam jawatankuasa teknikal bagi mengemukakan ulasan teknikal sesuatu projek dalam mesyuarat berkaitan Kesan Impak kepada Alam Sekitar (EIA) untuk projek ladang kayu hutan.
“Ianya merupakan satu-satunya platform bagi Perhilitan untuk memberi ulasan serta cadangan langkah-langkah mitigasi melalui Pelan Pengurusan Hidupan Liar atau ‘Wildlife Management Plan’ (WMP) yang diperlukan bagi konservasi hidupan liar di kawasan projek yang ingin dibangunkan,” katanya.
Katanya, WMP secara asasnya menggariskan langkah-langkah mitigasi yang perlu dilakukan khusus di setiap projek yang berbeza dan mempunyai impak yang berbeza terhadap kemandirian hidupan liar di kawasan tersebut.
“Kajian kesan terhadap hidupan liar kemudiannya akan dilaksanakan perunding bertauliah oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengenalpasti hidupan di lokasi terlibat.
“Jika perancangan terbaik dalam WMP gagal dilaksanakan oleh penggerak projek, kesan di masa hadapan akan melibatkan kos mitigasi yang lebih tinggi,” katanya.