Intervensi calon SPM cicir bukan kaedah baharu, kata timbalan menteri

Intervensi calon SPM cicir bukan kaedah baharu, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata ia bagaimanapun berhasil apabila jumlah calon yang tidak menduduki SPM berjaya dikurangkan sebanyak 1.2% berbanding tahun lalu.

Wong Kah Woh berkata langkah intervensi mampu mengurangkan masalah keciciran calon SPM dalam skala lebih besar sekiranya mendapat kerjasama penuh daripada semua pihak termasuk ibu bapa. (Gambar fail)
TAIPING:
Langkah intervensi bukan kaedah baharu dan telah diguna pakai secara berterusan bagi menangani masalah keciciran calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata langkah itu lebih bersifat pemujukan dan memberi kesedaran kepada setiap calon berkaitan kepentingan dan kelebihan menduduki peperiksaan tersebut.

“Secara dasarnya, langkah intervensi ini kita telah lakukan sebelum calon-calon menduduki peperiksaan SPM termasuk untuk berikan nasihat dan kaunseling yang bertujuan menyedarkan mereka terhadap kepentingannya.

“Usaha ini telah menampakkan hasil…jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan tersebut telah berjaya dikurangkan sebanyak 1.2% berbanding tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Kejohanan Malaysia International Muay Championship (Mimac) di sini, semalam.

Pada 27 Mei lepas, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan KPM akan melaksanakan intervensi mengesan calon tercicir dan memberi peluang kepada mereka untuk mendaftar bagi menduduki SPM secara ulangan.

Sebelum ini dilaporkan seramai 10,160 daripada 383,685 calon SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Wong berkata pihaknya berpendapat langkah intervensi itu juga mampu mengurangkan masalah keciciran dalam skala yang lebih besar sekiranya mendapat kerjasama penuh daripada semua pihak termasuk ibu bapa.

“Bukan hanya di pihak kerajaan malah kita semua perlu memupuk satu fenomena untuk menggalakkan anak-anak menduduki peperiksaan ini. Jika ini berlaku, saya pasti ia akan menjadi hala tuju untuk mengatasi isu keciciran ini,” katanya.

Ditanya mengenai faktor keciciran berlaku, beliau berkata pihaknya mengakui pengaruh media sosial antara punca utama masalah berkenaan.

Sementara itu, Wong berkata Mimac berjaya menarik kehadiran 240 peserta melibatkan 120 pasukan dari 12 negara termasuk Thailand, Vietnam, Kemboja, Iran, Laos dan Afghanistan.

Tambah beliau tujuan utama pertandingan yang dianjurkan dengan usaha sama KPM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Tomoi Negeri Perak itu adalah untuk mencungkil bakat-bakat baru selain membangunkan sukan Muay Thai di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.