
Timbalan Ketua PKR Pulau Pinang Mohamad Abdul Hamid, berkata semua nama itu untuk dipertimbang dan diperhalusi pucuk pimpinan.
“Peringkat pimpinan (PKR) negeri telah menerima cadangan-cadangan (nama) calon untuk DUN Sungai Bakap di peringkat ranting dan cabang PKR di Nibong Tebal dan kami telah hantar kepada pimpinan atasan…calon berusia 30 hingga 60 tahun, ada anak tempatan, dari luar pun ada juga,” katanya selepas sidang media projek mitigasi banjir DUN Sungai Bakap.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei akibat keradangan perut.
Pada PRN Ogos lalu, Zamri yang merupakan ketua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Sementara itu, Fadhlina yang juga ketua Wanita PKR, berkata gerak kerja sayap itu bermula di Sungai Bakap lebih awal dan momentum itu sedang dilihat secara terperinci untuk memberi tumpuan penuh kepada DUN berkenaan.
“Senarai di peringkat Wanita kita telah kemukakan kepada pucuk pimpinan negeri dan misi kita adalah menawan kembali Sungai Bakap serta memberi khidmat terbaik kepada penduduk Sungai Bakap,” katanya.