
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Khalib, berkata bukannya ‘kerja macam biasa’ apabila berlaku kekurangan tenaga kerja di kemudahan kesihatan dan kekecewaan meluas dalam kalangan profesional dalam sektor penting itu.
“Apabila pesakit berpusu ke hospital dan klinik, pekerja dipaksa memilih antara menjaga diri mereka dan pesakit, yang mana tidak adil,” katanya kepada FMT.
Katanya, ramai doktor dan jururawat berpindah ke sektor swasta, termasuk berhijrah ke negara lain atau memulakan kerjaya baharu sama sekali.
Azrul mengulas kaji selidik Persatuan Perubatan Malaysia menunjukkan 95% kemudahan kesihatan awam kurang tenaga kerja.
Baru-baru ini, Senator Dr RA Lingeshwaran, berkata data Kementerian Kesihatan memaparkan 3,046 doktor kontrak berhenti dalam tempoh tiga tahun lalu.
Azrul berkata, ada doktor bekerja syif 30 jam, menjadikan ramai doktor muda, doktor pelatih atau pegawai perubatan mengalami keletihan fizikal dan mental.
“Kerajaan mesti memanggil pasukan petugas khas segera membincangkan apa sedang berlaku,” katanya.
Pensyarah Kursus Farmasi Monash University Malaysia, Dr Wong Yen Jun berkata kurangnya pekerja menguruskan beban kerja sama menjurus kelesuan, sekali gus mengurangkan kualiti penjagaan dan risiko keselamatan meningkat.
“Ternyata, cabaran didepani bukan sahaja menjejaskan doktor, malah ahli farmasi, jururawat, pembantu perubatan, dan sebagainya.”
Wong menggesa penubuhan suruhanjaya perkhidmatan kesihatan bagi menguruskan perancangan dan penempatan tenaga kerja.
“Kita memerlukan kerajaan Madani menunjukkan mereka ambil berat sistem kesihatan kebangsaan,” katanya.
Pada 22 April, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengumumkan Putrajaya sedang memuktamadkan kajian cadangan penubuhan suruhanjaya perkhidmatan kesihatan.
Tahun lalu, Menteri Kesihatan ketika itu, Dr Zaliha Mustafa berkata perincian berkait suruhanjaya tersebut sedang dimuktamad bagi menyelesaikan skim perkhidmatan, terutama melibatkan profesional perubatan dan doktor.