Jangan serang peribadi lawan untuk tawan Sg Bakap, PH diberitahu

Jangan serang peribadi lawan untuk tawan Sg Bakap, PH diberitahu

Penganalisis politik Ariff Aizuddin Azlan berkata cabaran calon PH ialah meyakinkan pengundi terhadap dasar dan aspirasi kerajaan perpaduan.

Pakatan Harapan dijangka sekali lagi bertembung Perikatan Nasional pada PRK Sungai Bakap selepas PRK Kuala Kubu Baharu, bulan lalu.
PETALING JAYA:
Kurangkan serang peribadi lawan dan fokus yakinkan rakyat berhubung dasar kerajaan perpaduan, boleh menjadi ‘pemberat’ buat Pakatan Harapan (PH) merampas semula DUN Sungai Bakap pada PRK, kata penganalisis politik.

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata gabungan berkenaan berpeluang menawan semula kerusi pernah dimenanginya sejak 2008 sebelum dirampas Perikatan Nasional (PN) pada PRN Ogos lalu.

Menurutnya, pengundi di DUN bawah Parlimen Nibong Tebal itu perlu ditawarkan perkhidmatan wakil rakyat selari pentadbiran baik di peringkat Putrajaya dan Pulau Pinang, iaitu kerajaan perpaduan.

Nibong Tebal juga dikuasai PH menerusi Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, selain Jawi, manakala Sungai Acheh dimenangi sekutu kerajaan perpaduan, Barisan Nasional (BN).

“Perlu ‘pertaruhkan’ isu prestasi kerajaan perpaduan di saat ini, saya lihat cabaran utama calon PH untuk meyakinkan pengundi terhadap dasar dan aspirasi dibawa kerajaan perpaduan.

“Jika naratif prestasi positif pentadbiran berjaya dimainkan dan tidak menyerang peribadi lawan, saya fikir tidak mustahil ‘swing’ itu akan berlaku,” kata Ariff kepada FMT.

Pada PRN lalu, Nor Zamri Latiff dari PN yang juga ketua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Zamri meninggal dunia 24 Mei lalu akibat keradangan perut dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat 6 Jun ini bagi menentukan tarikh penamaan calon serta pengundian.

Berdasarkan rekod SPR untuk PRN 2023, DUN Sungai Bakap mempunyai 38,409 pemilih dengan 59.36% (Melayu), 22.54% (Cina), 17.39% (India) dan 0.71% lain-lain.

Sementara itu, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia pula berpandangan isu kos sara hidup, gaji, peluang pekerjaan melalui pelaburan asing dijangka terus menjadi penilaian penting pengundi pada PRK itu, berbanding soal calon anak tempatan atau sebaliknya.

Menurutnya, tiada masalah buat PH jika ingin meletakkan semula Nurhidayah walaupun beliau tewas pada PRN lalu dan bukan berasal dari Sungai Bakap.

“Beliau tetap orang Pulau Pinang dan lagipun pengundi biasanya memilih parti.

“Jumlah pengundi bukan Melayu yang hampir mencecah 40% mungkin boleh bantu PH beri saingan nanti,” katanya mengulas sama ada pemilihan Nurhidayah akan memberi kesan kepada peluang PH yang tewas pada PRN lalu.

Kelmarin, FMT memetik sumber melaporkan ketua wanita PKR Pulau Pinang itu dan Ketua PKR Nibong Tebal Dr Amar Pritpal Abdullah antara nama disebut-sebut bakal dipertaruhkan PH pada PRK Sungai Bakap.

Amar ialah bekas Adun Sungai Bakap dari 2018 hingga 2023, sebelum beliau digugurkan sebagai calon PRN dan digantikan Nurhidayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.