
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, perkembangan itu sejajar dengan tempoh melengkapkan proses penyediaan ‘share subscription agreement’ (SSA) pengambilan ekuiti DNB menjelang 21 Jun.
Katanya, rangkaian kedua 5G itu turut menumpukan kepada aspek tambahan, iaitu penggunaan dalam sektor perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta industri.
“Syarikat telco harus menyiapkan SSA (pengambilan) equiti DNB menjelang 21 Jun ini dan rata-rata mereka sudah bersedia untuk menandatanganinya,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Kejohanan Badminton Junior ‘Road to NCT’ di Sport Arena Sentosa.
“Rangkaian 5G ini paling bermanfaat kepada pihak industri dan PMKS, justeru kita memberi penekanan terhadap perkara ini dalam mesyuarat semalam.”
Fahmi optimis, selepas 21 Jun ini, proses rasmi membentuk rangkaian kedua itu dapat dimulakan.
Semalam, Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengadakan perbincangan menyeluruh bagi merangka strategi serta pelan tindakan dalam pelaksanaan rangkaian kedua 5G.
Sebelum ini, syarikat telekomunikasi terlibat diberi tempoh 20 hari untuk memuktamad dan melengkapkan proses pegangan ekuiti dalam syarikat DNB.
Pada Mei tahun lepas, kerajaan mengumumkan mengenai peralihan daripada model 5G secara rangkaian borong tunggal kepada dwi rangkaian.