
Kementerian dalam kenyataan pada Sabtu melaporkan Konsulat Jeneral Malaysia berhubung dengan ahli keluarga Allahyarham dan sedang memberikan bantuan konsular yang sewajarnya.
“Konsulat juga sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan usaha membawa turun jenazah dari kawasan pergunungan sedang giat dilakukan bergantung kepada keadaan cuaca,” menurut Wisma Putra.
Kementerian juga mengesahkan dua lagi pendaki warganegara Malaysia dimasukkan ke hospital.
Konsulat Jeneral Malaysia sedang memantau keadaan kesihatan mereka dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya, sambil menambah sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan pendaki Malaysia yang kehilangan nyawa secara tragis di Gunung Denali, Alaska.
“Kami berterima kasih kepada National Park Service kerana mengeluarkan dan menyelamatkan seorang lagi pendaki Malaysia,” menurut kenyataan itu di X.
Sementara itu, Kelab Jelajah Alpine Malaysia di Facebook berkata pendaki tersebut, Zulkifli Yusuf, 37, dilaporkan meninggal dunia pada 6 pagi (waktu tempatan) Rabu semasa berlindung di dalam gua salji yang dikenali sebagai “Football Field”.
“Punca kematian Zulkifli disyaki akibat ‘high altitud cerebral edema’ dan hipotermia manakala perkara itu akan disahkan melalui bedah siasat.
“Jenazah Allahyarham masih berada di tempat kejadian dan proses mengeluarkan jenazah akan mengambil masa bergantung kepada cuaca,” kata kelab.
Kelab Jelajah Alpine Malaysia berkata seorang lagi pendaki, Zainudin Lot, 47, berjaya diselamatkan pada Jumaat dan kini sedang dirawat di sebuah hospital di Talkeetna, Alaska.
“Keadaannya stabil dan beliau mengalami radang dingin pada kedua-dua tangannya,” tambahnya.
Denali National Park & Preserve dalam satu kenyataan pada 31 Mei mengesahkan pasukan penyelamat menyelamatkan pendaki pertama daripada tiga pendaki yang terkandas, Muhammad Illaham Ishak, 47, pada 28 Mei.