Pasukan perubatan Mercy Malaysia selamat keluar dari Rafah

Pasukan perubatan Mercy Malaysia selamat keluar dari Rafah

Wisma Putra memaklumkan enam anggota perubatan itu dibawa keluar dari zon konflik secara berperingkat.

Wisma Putra berkata kumpulan terakhir anggota perubatan Mercy Malaysia dibawa keluar dari Rafah di Gaza pada 31 Mei lalu. (Gambar Facebook Mercy Malaysia)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan semua enam anggota pasukan perubatan kecemasan (EMT) Mercy Malaysia berjaya dibawa keluar dengan selamat dari Rafah, Gaza.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan enam anggota EMT dibawa keluar dari zon konflik secara berperingkat bersama-sama dengan petugas antarabangsa yang lain.

“Sebahagian ahli EMT ini dibawa keluar masing-masing pada 23, 24 dan 28 Mei manakala kumpulan terakhir yang terdiri daripada dua orang dibawa keluar pada 31 Mei,” menurut kenyataan itu.

“Kementerian Luar ingin merakamkan penghargaan kepada semua rakan antarabangsa yang memberikan kerjasama dan komitmen dalam memastikan keselamatan petugas warganegara Malaysia tersebut sehingga mereka berjaya dipindahkan keluar dari zon konflik.”

Kenyataan itu menyatakan bahawa kementerian juga ingin mengingatkan semua rakyat Malaysia agar tidak melakukan sebarang perjalanan ke mana-mana zon konflik.

Beribu-ribu rakyat Palestin melarikan diri dari kawasan barat Rafah selepas tentera Israel meluaskan serangannya ke bandar itu pada 27 Mei lalu.

Ramai rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan khemah untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Tal al-Sultan, barat laut pusat bandar Rafah, kata sumber perubatan kepada Agensi Anadolu.

Menurut saksi, serangan itu menyebabkan kakitangan perubatan dan pesakit terperangkap di dalam klinik Tal al-Sultan dan hospital medan Indonesia di Rafah.

Israel meneruskan serangan kejamnya ke atas Gaza walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menuntut gencatan senjata segera.

Sekurang-kurangnya 36,050 rakyat Palestin terbunuh di Gaza, sebahagian besarnya adalah wanita dan kanak-kanak manakala lebih 81,000 yang lain cedera sejak Oktober lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.