Kurangkan bergantung pekerja asing, TPM saran sektor binaan terap AI

Kurangkan bergantung pekerja asing, TPM saran sektor binaan terap AI

Fadillah Yusof turut meminta pemain industri terap teknologi digital lain seperti pemodelan maklumat bangunan.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menghadiri sambutan ulang tahun ke-70 Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia malam tadi. (Gambar Facebook Fadillah Yusof)
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menyarankan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dimanfaatkan dalam sektor pembinaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

Beliau juga meminta pemain industri pembinaan menerapkan teknologi digital lain seperti pemodelan maklumat bangunan (BIM) selain menekankan amalan alam sekitar, sosial dan tata kelola secara meluas sejajar perubahan semasa.

“Di samping memperkasa kontraktor tempatan, usaha berterusan ke arah pendigitalan industri pembinaan secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan industri ini kepada pekerja asing berkemahiran rendah.

“Dan seterusnya menutup jurang produktiviti untuk kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya berucap pada sambutan ulang tahun ke-70 Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) malam tadi.

Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air turut memuji pembabitan aktif MBAM dalam pelbagai jawatankuasa teknikal dan kerja berkaitan penggubalan dasar serta pelaksanaan program.

“Saya sedia maklum bahawa banyak amalan terbaik industri telah dimulakan oleh pemain industri itu sendiri dengan objektif untuk meningkatkan prestasi industri pembinaan di Malaysia.

“Harus diingat, dinamik industri pembinaan akan terus berkembang dan cabaran yang menanti pastinya lebih hebat. Namun, harapan saya ialah MBAM dan semua ahlinya tidak gentar membawa perubahan dalam era Revolusi Industri 4.0 dan terus memandang ke hadapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.