
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Khaw Kok Chin berkata, dua lelaki tempatan serta masing-masing enam lelaki dan wanita warga asing dalam lingkungan 22 hingga 52 tahun ditahan antara 3.40 petang dan 8.30 malam.
“Dalam operasi ini, JSJN Kontinjen Johor membongkar tempat memproses dan pembungkusan dadah serta merampas pelbagai dadah, iaitu serbuk dan pil ekstasi, syabu, ketamin, pil erimin 5, MDMA (methylenedioxymethamphetamine) serta bahan kimia untuk memproses dadah itu.
“Anggaran berat bagi semua dadah dirampas ialah 198.54kg dan dadah tersebut boleh digunakan 1.24 juta penagih dadah,” katanya dalam sidang media di IPK Johor di sini. Turut hadir Ketua Polis Johor, M Kumar.
Selain itu, polis turut menyita enam kenderaan, 14 jam tangan pelbagai jenama, barang kemas, wang tunai RM204,069 serta dolar Singapura SGD22,970 dengan nilai keseluruhan sitaan harta dianggarkan berjumlah RM1.17 juta.
Khaw berkata, sindiket mula aktif sejak Januari lepas itu menjadikan kondominium dan rumah teres berpagar serta berpengawal yang disewa sebagai lokasi memproses dan membungkus dadah, sebelum diedar ke pasaran negara jiran melalui jalan darat.
Menurutnya, sindiket itu didalangi seorang lelaki warga asing berusia 49 tahun dan lima daripada 12 warga asing ditahan itu, mempunyai rekod dikehendaki di negara masing-masing.
Beliau berkata, antara taktik sindiket itu ialah membungkus dadah dalam bungkusan jus minuman, selain mencetak dadah seperti ubat-ubatan, termasuk ubat tahan sakit bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Saringan awal ke atas semua suspek mendapati tiga daripadanya positif dadah. Semua individu ini direman tujuh hari bermula Khamis sehingga Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sambil menambah kewarganegaraan semua 12 warga asing itu masih dalam siasatan.