
Ahmad Fauzi Abd Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata keyakinan terbabit mungkin disuarakan kerana beranggapan sokongan orang Melayu masih kekal kepada komponen itu termasuk pada PRK Kuala Kubu Baharu meskipun ada sedikit peralihan kepada Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, peralihan sokongan segmen pengundi Melayu selain kumpulan penjawat awam serta pasukan beruniform kepada PH-BN sebenarnya amaran kepada PN supaya tidak terlalu selesa.
“Jika berlaku PRK, PH-BN akan berharap hayunan (swing) sama ke arah menyokong kerajaan pusat dan negeri juga berlaku di Tanjong Karang untuk memenangkan calonnya.
“Persaingan pastinya sengit dan kerajaan perpaduan mesti menonjolkan pencapaiannya selama satu setengah tahun ini dalam meningkatkan ekonomi rakyat tanpa mengenepikan agenda Bumiputera,” katanya kepada FMT.
Semalam, Ketua Bahagian Bersatu Tanjong Karang (penaja) Nurul Syazwani Noh berkata Parlimen itu kini ‘deposit tetap’ PN yang boleh dipertahankan dalam PRK jika penyandangnya Dr Zulkafperi Hanapi terlucut keahlian sebagai ahli Bersatu kerana gagal menjawab surat arahan parti dalam tempoh dua minggu, berakhir semalam.
Arahan itu termasuk tidak menyokong pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Zulkafperi antara enam Ahli Parlimen Bersatu menyokong presiden PKR itu.
Adun Permatang menyuarakan keyakinan itu berdasarkan majoriti undi diperolehi PN di dua DUN bawah Parlimen Tanjong Karang – Permatang dan Sungai Burong – yang angkanya lebih 8,000 undi pada PRN lalu.
PRU15 menyaksikan Parlimen Tanjong Karang jatuh ke tangan PN menerusi Zulkafperi dengan majoriti 2,180 undi, kekalahan itu ada kaitan pengguguran penyandang enam penggal Noh Omar dengan pemimpin Wanita Umno Habibah Yusof.
Menurut Fauzi, majoriti tidak begitu besar dimenangi PN dalam PRU15 pada November 2022 sebenarnya menunjukkan kerusi itu bukan ‘deposit PN’.
“Tambahan pula dalam keadaan sekarang kita lihat ada kecenderungan menyokong parti berkuasa di kalangan pegawai kerajaan, jika tambah undi ahli keluarga tidak mustahil majoriti itu boleh ‘diterbalikkan’,” katanya.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia turut senada kedudukan Bersatu di Parlimen Tanjong Karang sebenarnya belum selamat, jika menggabungkan undi PH (diwakili Muda) berjumlah 12,314 undi dan 15,874 undi diterima BN pada PRU15.
Bersatu yang mewakili PN memperoleh 18,054 undi ketika itu.
“Jika Umno bertanding mungkin dapat 12,000 undi diperoleh PH, kalau separuh daripada pengundi BN lari ke lawan pun, masih tak cukup untuk PN menang.
“Kalau lihat PRK Kuala Kubu Baharu, ada ‘swing’ undi Melayu dan pengundi awal terdiri daripada polis…dalam konteks kerajaan perpaduan kerusi Tanjong Karang boleh menang,” katanya yang menyifatkan kenyataan Nurul itu mungkin menguatkan semangat akar umbi.