Ahli ekonomi pertahan perutusan khas PM berkait subsidi diesel bersasar

Ahli ekonomi pertahan perutusan khas PM berkait subsidi diesel bersasar

Ahli ekonomi berkata perdana menteri hanya mahu mendapat sokongan rakyat terhadap inisiatif yang menjimatkan perbelanjaan negara RM4 bilion setahun.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan perutusan khas pada minggu lalu di mana beliau menekankan keperluan subsidi diesel bersasar.
PETALING JAYA:
Ahli ekonomi mempertahankan perutusan khas Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada minggu lalu di mana beliau menyentuh mengenai subsidi diesel bersasar yang menjimatkan perbelanjaan negara RM4 bilion setahun.

Shankaran Nambiar dari Institut Kajian Ekonomi Malaysia percaya Anwar yang juga menteri kewangan cuba membina keyakinan rakyat dengan menerangkan manfaat yang bakal diterima negara daripada inisiatif itu.

Beliau berkata terdapat banyak silap faham dan salah maklumat menyelubungi inisiatif itu, terutama di media sosial, dan perdana menteri mahu menyatakan perkara sebenarnya.

“Tidak sangsi lagi bahawa banyak subsidi dibazirkan – ada kumpulan yang tidak perlu diberi subsidi. Tidak sangsi lagi kerajaan dapat membuat penjimatan menerusi rasionalisasi.

“Dan melihat kepada kedudukan fiskal negara, tidak sangsi lagi rasionalisasi perlu dilaksanakan,” katanya kepada FMT.

Nambiar berkata Anwar memulakan inisiatif itu dengan dengan menerangkan mengapa polisi itu diperlukan dan menjelaskan kumpulan rentan akan menerima sokongan kerajaan.

“Langkah seterusnya adalah menerangkan bagaimana beliau merancang untuk melaksanakannya,” katanya.

Sementara itu, Aslam Haneef dari Universiti Islam Antarabangsa berkata Anwar adalah betul dengan tidak membentangkan perkara pokok pelan subsidi bersasar itu kerana bukan tugas perdana menteri untuk menerangkan perincian pelan itu.

Aslam berkata ia perlu dilakukan oleh pegawai dan agensi berkaitan, tambahya, kritikan Petua Pembangkang Hamzah Zainuddin mengenai kurangnya penerangan Anwar mengenai bila polisi itu akan dilaksanakan adalah tidak perlu.

“Sepatutnya, pembangkang memberi cadangan mereka bagaimana ia harus dilaksanakan.”

Ahli ekonomi itu juga berkata subsidi diesel bersasar tersebut sangat dialu-alukan, dan berharap perkara sama akan dilakukan pada petrol tidak lama lagi.

Katanya, tiada negara jiran memberi subsidi petrol dan diesel terlalu besar seperti Putrajaya, melainkan Brunei, manakala rakyat Malaysia sudah biasa dengan minyak yang murah.

“Melihat secara keseluruhannya ia tidak masuk akal. Kita perlu mengubah set minda kita mengenai perkara ini. Bagus subsidi ini ditarik secara beransur-ansur tetapi kita perlu fikirkan untuk menarik ia secara keseluruhan, termasuk barangan tidak baik seperti gula,” kata Aslam.

Dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung pada minggu lalu, Anwar menekankan terdapat keperluan untuk subsidi diesel bersasar dan memberi jaminan subsidi tidak akan ditarik sepenuhnya atau dalam masa terdekat.

Tambah Anwar, sama seperti subsidi bersasar untuk air dan elektrik, kebanyakan rakyat kekal tidak terjejas

Hamzah yang juga setiausaha agung Perikatan Nasional sebelum ini berkata perutusan khas Anwar ‘tidak melegakan rakyat’ kerana rakyat mahu tahu bila ia akan dikuatkuasakan dan mekanisme kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Perdana menteri kemudiannya menyelar Ahli Parlimen Larut itu dan berkata kerajaan beberapa kali menyatakan bahawa subsidi bersasar itu bertujuan untuk menarik balik subsidi untuk warga asing dan golongan kaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.