Universiti mohon akreditasi kursus kardiotoraks ‘lama tertangguh’, kata Dr Lee

Universiti mohon akreditasi kursus kardiotoraks ‘lama tertangguh’, kata Dr Lee

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye memuji universiti tempatan membangunkan program laluan selari, tetapi berpendapat program itu patut diteruskan.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye program sarjana tempatan perlu cuba membangunkan kapasiti melatih pakar, tetapi mengakui ia mungkin ‘tidak mencukupi’ bagi melahirkan ramai pakar bedah untuk memenuhi keperluan negara.
PETALING JAYA:
Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye memuji keputusan universiti tempatan mendapatkan perakuan akreditasi untuk menjalankan kursus pembedahan kardiotoraks yang “lama tertangguh”.

“Adalah bagus universiti tempatan membangunkan program itu, tetapi program laluan selari perlu diteruskan,” kata pakar jantung itu kepada FMT.

Bekas Ahli Parlimen Gopeng itu diminta mengulas pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir semalam bahawa Universiti Malaya (UM) dalam proses mendapatkan perakuan akreditasi sebelum boleh menawarkan kursus pembedahan kardiotoraks dalam masa terdekat.

Ketika ini, hanya UiTM mempunyai program pakar pembedahan kardiotoraks yang diberikan akreditasi sementara oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 2021, tetapi belum diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MPM).

Malaysia dibelenggu kekurangan pakar bedah kardiotoraks di hospital kerajaan yang menyebabkan senarai menunggu panjang untuk pesakit jantung, dengan sebahagiannya tidak dapat bertahan dalam penantian.

Isu itu bertambah teruk dengan keengganan MPM mengiktiraf pakar kardiotoraks yang lulus di bawah program laluan selari.

Lee berkata, program sarjana tempatan perlu cuba membangunkan kapasiti melatih pakar, tetapi mengakui ia mungkin “tidak mencukupi” bagi melahirkan ramai pakar bedah untuk memenuhi keperluan negara.

“Jadi, program laluan selari patut dibenar untuk diteruskan supaya kita mempunyai pakar mencukupi untuk dilatih bagi masa depan.”

Di bawah program laluan selari ditaja Kementerian Kesihatan, pelatih pakar dikaitkan dengan program kardiotoraks Royal College of Surgeons of Edinburgh.

Semalam, jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, undang-undang perlu dipinda untuk menyelesaikan isu program laluan selari yang akan dibincangkan Jemaah Menteri Rabu depan dan Jabatan Peguam Negara sudah berkongsi pandangannya dari segi undang-undang dengan Jemaah Menteri.

Dalam pada itu, pakar nefrologi, Dr Rafidah Abdullah yang menekankan kepentingan program laluan selari sebelum ini, turut memuji keputusan universiti mendapatkan perakuan akreditasi bagi kursus itu yang disifatkannya “usaha hebat”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.