
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata usaha itu bagi melengkapi kerjasama antara kedua-dua gabungan kerana PH dilihat masih gagal meraih sokongan Melayu.
“Kalau kita lihat dari jawatan dan kuasa, kerjasama (dengan PH) adalah lebih baik.
“Umno dapat sediakan apa yang PH tidak ada, Umno mempunyai kelebihan kerana mempunyai semangat kemelayuan,” katanya kepada FMT mengulas kesediaan Umno menerima semula bekas ahli dan pemimpinnya yang ‘disingkirkan’ atau keluar.
Sabtu lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Jalaluddin Alias berkata parti itu bersedia menerima ahli dan pemimpin yang telah disingkirkan bagi memberi peluang kedua kepada mereka yang tetap setia.
Bekas naib presiden Hishamuddin Hussein dan bekas ketua penerangan Shahril Hamdan antara yang digantung keahliannya oleh Umno selepas PRU15.
Bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan bekas ahli MKT Noh Omar pula dipecat.
Mengulas lanjut, Lau berkata sudah menjadi kebiasaan mana-mana ahli Umno yang keluar kembali kepada parti itu, merujuk pembubaran Semangat 46 pada 1996 dan kembalinya beberapa anggotanya dari PKR dan Bersatu sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, sama ada langkah itu akan menambah kekuatan Umno bergantung kepada personaliti yang kembali ke parti itu.
Sementara itu, Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula berkata jika pelawaan Umno dibuat atas percaturan politik, ia mungkin akan ditolak oleh pemimpin yang dipecat dan digantung oleh parti.
“Namun jika dibuat kerana merasakan peranan mereka sangat penting untuk parti, ia boleh memberi nilai tambah kepada parti,” katanya.