Sarawak usaha kurang 50% kadar miskin tegar menjelang 2026

Sarawak usaha kurang 50% kadar miskin tegar menjelang 2026

Menteri Sarawak Fatimah Abdullah mengakui 17,482 ketua isi rumah dalam eKasih mungkin tidak menggambarkan jumlah sebenar individu hidup dalam kemiskinan tegar.

fatimah
Fatimah Abdullah berkata sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan untuk bekerjasama dengan ketua rumah panjang dan jawatankuasa kampung bagi mengenal pasti keluarga miskin tegar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sarawak berharap dapat mengurangkan separuh jumlah penduduk miskin tegarnya menjelang 2026 daripada 17,482 isi rumah disenaraikan dalam pangkalan data eKasih setakat bulan ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Fatimah Abdullah berkata sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan kementeriannya untuk bekerjasama dengan ketua rumah panjang dan jawatankuasa kampung bagi mengenal pasti keluarga miskin tegar.

Beliau turut mengakui 17,482 ketua isi rumah tersenarai dalam eKasih mungkin tidak mencerminkan jumlah sebenar individu hidup dalam kemiskinan tegar.

“Kami akan kenal pasti siapa sebenarnya termasuk bawah kategori miskin tegar dalam pangkalan data e Kasih. Contohnya, pencari nafkah keluarga mungkin tidak lagi dapat menjana pendapatan akibat usia tua atau penyakit kronik.

“Ini kategori orang yang kami mahu sasarkan untuk membasmi kemiskinan tegar,” katanya menurut Dayak Daily.

Fatimah berkata pasukan petugas itu akan mengenal pasti individu boleh dilibatkan dalam “aktiviti menjana pendapatan” sambil menerima bantuan sehingga RM5,000 untuk membantu mereka dalam usaha berkenaan.

Pada Julai 2022, Dewan Rakyat diberitahu lebih 97,000 isi rumah di Sarawak hidup dalam kemiskinan, dengan 39,858 daripadanya dianggap miskin tegar.

Jabatan Perangkaan pada Julai 2023 menyatakan kadar kemiskinan di Sarawak ialah ketiga tertinggi pada 10.8%, selepas Sabah (19.7%) dan Kelantan (13.2%).

Menurut Jabatan Perangkaan, empat daerah di Sarawak turut disenaraikan antara 10 daerah dengan purata pendapatan kasar isi rumah terendah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.