
Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin, dalam keterangan berkata Najib mendedahkan perkara tersebut ketika mengambil keterangannya, penghujung 2018.
Saksi pendakwaan demikian ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, yang menyoal sekiranya wang disimpan dalam akaun Najib digunakan bagi tujuan politik.
Aida kemudian membaca sebahagian kenyataan Najib kepada SPRM.
Najib berkata, beliau tidak menggunakan semua dana bagi PRU 2013, namun menyimpan sebahagiannya sebagai pelan luar jangka berulangnya insiden 16 Sept 2008.
“(Pada 16 Sept 2008), ada cubaan oleh pembangkang pada masa itu menjatuhkan kerajaan BN (pimpinan Abdullah Ahmad Badawi) dengan Ahli Parlimen berpaling tadah,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Katanya, beliau perlu bersedia walaupun tidak bersetuju dengan amalan berkenaan.
Najib, dilantik perdana menteri pada 3 April 2009, berkata ada cubaan sama untuk menjatuhkan kerajaannya selepas PRU 2013.
Bermula 2008, kerajaan BN semakin rapuh memandangkan tidak lagi menikmati majoriti dua pertiga selepas lebih 50 tahun memerintah negara.
Timbul spekulasi pentadbiran Abdullah akan jatuh selepas pembangkang dikatakan memujuk sejumlah Ahli Parlimen BN untuk membentuk kerajaan baharu.
Najib, dalam kenyataan itu, berkata beliau memulangkan semula derma dikatakan itu yang tidak digunakan pada PRU13.
Sebelum ini, saksi pembelaan dan pegawai polis, Foo Wei Min berkata Najib menerima USD681 juta (RM2.081 bilion), namun memulangkan USD620 juta (RM2.034 bilion) pada Ogos 2013.
Foo berkata, jejak aliran wang mendedahkan dana itu berasal daripada 1MDB.
Seorang lagi saksi pendakwaan, bekas ketua setiausaha kerajaan, Sidek Hassan, juga mengakui perkara tersebut, yang menurut pemahamannya, 1MDB ditubuhkan bagi dana politik BN.
Aida berkata, peguam negara dan ketua pesuruhjaya SPRM diganti ketika Najib berkhidmat sebagai perdana menteri. Beliau berkata, perdana menteri mempunyai peranan dalam lantikan bagi dua jawatan berkenaan.
Beliau bersetuju dengan Akram bahawa perdana menteri boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi pelantikan jawatan terbabit seperti termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 5 Akta SPRM.
Pada Julai 2015, pasukan petugas khas dianggotai Pejabat Peguam Negara, SPRM, Bukit Aman, dan Bank Negara Malaysia memulakan siasatan ke atas 1MDB, selepas laporan sejumlah besar wang diremit dari luar negara ke akaun peribadi Najib.
Peguam negara pada masa itu, Abdul Gani Patail digantikan dengan Apandi Ali beberapa minggu kemudian, selain timbalan pendakwa raya kanan, Dzulkifli Ahmad dilantik ketua pesuruhjaya SPRM, pada Julai 2016, menggantikan Abu Kassim Mohamed.
Apandi kemudian mengumumkan beliau telah melakukan kajian mendalam kertas dihantar kepadanya oleh SPRM dan mengarahkan kes ditutup.
Dalam pernyataan pembukaan, pihak pendakwaan mendakwa Najib bersubahat dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, juga dikenali Jho Low, mencuri jutaan ringgit dana 1MDB, termasuk menyifatkan Low sebagai cerminan Najib.
Pihak pendakwaan juga mendakwa Najib memainkan peranan aktif mengelak keadilan dan masuk campur dalam sepanjang siasatan 1MDB.
Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pengubahan wang melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang didakwa didepositkan dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.