Kontroversi Asia Mobiliti: Bekas pemimpin Umno cadang tatakelakuan menteri

Kontroversi Asia Mobiliti: Bekas pemimpin Umno cadang tatakelakuan menteri

Tatakelakuan akan memastikan ketelusan dalam kalangan Jemaah Menteri, mengelakkan nepotisme dan kronisme, kata Shahril Hamdan.

Shahril Hamdan (kiri) berkata, pasangan kepada menteri juga berhak mempunyai kerjaya, manakala Khairy Jamaluddin menyifatkan gesaan agar Hannah Yeoh dan suaminya meletak jawatan ‘melampau dan tidak adil’.
PETALING JAYA:
Dua bekas pemimpin Umno mencadangkan agar diwujudkan tatakelakuan menteri, termasuk mengisytiharkan urusan perniagaan pasangan mereka, berikutan kontroversi berhubung projek yang dikaitkan dengan suami Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, tatakelakuan akan membantu memastikan ketelusan dalam kalangan Jemaah Menteri dan mencegah amalan nepotisme dan kronisme.

Katanya, garis panduan serupa diguna pakai di Singapura dan United Kingdom, yang mana masyarakat awam dimaklumkan mengenai urusan perniagaan melibatkan ahli keluarga menteri.

“Saya pasti Ramachandran Muniandy ialah ahli perniagaan yang sahih dan layak, cuma isunya, beliau suami (Yeoh, seorang menteri).

“Jadi bagaimana nak uruskan kedua-dua (aspek) ini? (Ramachandran) juga berhak mempunyai kerjaya,” katanya dalam episod terbaru audio Keluar Sekejap malam ini.

Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyuarakan sentimen yang sama dengan berkata, gesaan supaya Yeoh dan Ramachandran meletak jawatan masing-masing adalah “melampau dan tidak adil”.

Beliau turut mencadangkan agar garis panduan itu menetapkan bahawa pasangan kepada ahli politik yang memegang jawatan rasmi mesti mengisytiharkan kepentingan mereka dalam mana-mana syarikat, terutama yang terlibat dalam urus niaga dengan kerajaan negeri atau persekutuan.

“Ahli politik (berkenaan) tak boleh terlibat dalam apa-apa keputusan (berhubung urus niaga tersebut), secara langsung atau tak langsung,” katanya.

Khairy juga berkata, sepanjang tempoh beliau menjadi menteri, apabila berlaku perbincangan berkisar tentang urusan perniagaan pasangan seseorang menteri, menteri tersebut akan meninggalkan bilik mesyuarat.

“Benda ini biasa, (malah dicatatkan) dalam minit mesyuarat,” katanya.

Kerajaan Selangor dihujani kritikan baru-baru ini berikutan dakwaan layanan istimewa diberikan dalam proses tender selepas didedahkan bahawa Ramachandran ialah ketua pegawai eksekutif Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti), salah sebuah syarikat terpilih mengendalikan sistem ‘Demand-Responsive Transit’ (DRT) di Lembah Klang.

Semalam, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han menafikan Asia Mobiliti dan Badanbas Coach Sdn Bhd dipilih untuk projek DRT melalui rundingan terus, seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata, agensi itu tidak akan menyiasat kemungkinan wujudnya konflik kepentingan dalam perkara itu.

Menurutnya, Yeoh tiada kaitan dengan kerajaan Selangor yang memberikan kontrak itu kepada suaminya.

Pada Isnin, Asia Mobiliti mempertahankan penglibatannya dalam projek DRT dengan berkata, tender terbuka hanya akan mewujudkan monopoli di negeri itu.

Khairy dan Shahril juga percaya Yeoh patut tampil menjelaskan kedudukannya berhubung kontroversi itu.

Khairy mendakwa, Yeoh dikenali sebagai ahli politik Pakatan Harapan (PH) yang ‘berlagak suci’, terutamanya ketika Barisan Nasional (BN) memerintah.

“Apabila (kontroversi) jadi pada beliau, reaksi pembangkang, hatta penyokong PH agak keras, disebabkan ‘moral posturing’ beliau sebelum ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.