
Difahamkan wujud khabar angin di kalangan akar umbi PAS dan Perikatan Nasional (PN) yang pemimpin sayap PAS di Nibong Tebal itu bakal dicalonkan di kerusi disandang suaminya Nor Zamri Latiff.
Bercakap kepada FMT, Setiausaha PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim berkata pihaknya belum membincangkan soal calon yang akan diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk dimuktamadkan.
“Belum bincang lagi atau senarai pendek calon termasuk isteri arwah akan bertanding di kawasan itu, saya anggap hanya spekulasi sahaja lagipun beliau masih dalam edah.
“Soal calon ini serahkan 100% kepada pucuk pimpinan, kita sokong sesiapa sahaja asalkan menang pertahankan DUN Sungai Bakap,” katanya sambil menyatakan jentera PAS telah bersiap sedia.
Pada PRN lalu, Nor Zambri yang juga ketua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Zamri meninggal dunia Jumaat lalu kerana mengalami keradangan perut dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat 6 Jun depan, bagi penentuan tarikh penamaan calon serta pengundian.
Sebagai rekod, kerusi itu dikuasai Barisan Nasional (BN) pada PRU 2004 yang empat tahun kemudiannya dirampas Pakatan Rakyat sebelum digantikan PH membabitkan gabungan PKR-DAP-Amanah. Namun, pada PRN lalu PN pula menguasai kawasan itu.
Parlimen Nibong Tebal turut meliputi DUN Jawi dan Sungai Acheh, masing-masing dikuasai PH dan BN.
Berdasarkan rekod SPR untuk PRN 2023, DUN Sungai Bakap mempunyai 38,409 pemilih dengan 59.36% (Melayu), 22.54% (Cina), 17.39% (India) dan 0.71% lain-lain.