Google labur RM9.4 bilion bagi pusat data pertama, wilayah awan di Malaysia

Google labur RM9.4 bilion bagi pusat data pertama, wilayah awan di Malaysia

Pusat data pertama dan wilayah awan Google adalah pelaburan terbesar gergasi teknologi itu yang dirancang di Malaysia setakat ini.

google
Pelaburan Google itu bagi memenuhi permintaan semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan di peringkat tempatan mahupun global serta program literasi kecerdasan buatan untuk pelajar dan pendidik di Malaysia. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) mengumumkan Google akan melabur RM9.4 bilion untuk menubuhkan pusat data pertamanya dan wilayah awan Google di Malaysia.

Katanya, pelaburan itu akan menyokong 26,500 pekerjaan merentasi pelbagai sektor, termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan, dengan jumlah impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion.

“Wilayah awan di Malaysia akan menyertai 40 wilayah dan 121 zon yang kini beroperasi di seluruh dunia untuk memenuhi permintaan semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan di peringkat tempatan dan global, serta program literasi kecerdasan buatan (AI) untuk pelajar dan pendidik di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Pelaburan itu susulan beberapa siri libat urus Miti membabitkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet Inc, Ruth Porat, di mana memorandum persefahaman ditandatangani dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia pada 14 Nov 2023.

Alphabet ialah syarikat induk Google.

Tengku Zafrul Aziz yang mengetuai Miti berkata, pelaburan itu menyokong matlamat kemajuan digital Malaysia di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Kami turut mengalu-alukan rancangan Google membantu kami membangunkan ekosistem bakat yang teguh dengan memudahkan pertumbuhan kemahiran digital, perniagaan dan kerjaya pekerja kami.

“Kami yakin perkongsian dan pelaburan berterusan Google akan mempercepatkan transformasi digital negara kita, menyumbang kepada visi Madani ke arah Malaysia yang lebih makmur dan maju dari segi teknologi.”

Porat berkata, pusat data pertama Google dan wilayah awan Google itu menandakan pelaburan terbesar kumpulan itu di Malaysia setakat ini, di mana ia sudah bertapak selama 13 tahun.

“Pelaburan ini dibina atas perkongsian kami dengan kerajaan Malaysia untuk memajukan ‘Dasar Awan Pertama’, termasuk piawaian keselamatan siber terbaik dalam kelasnya.

“Dengan pengumuman hari ini, Malaysia dan Google bekerjasama untuk memajukan usaha dalam mencipta ekosistem menyokong inovasi dan membuka potensi transformasi digital.”

Pusat data Google akan bertempat di Elmina Business Park di Sime Darby Property dan menyokong pelbagai perkhidmatan Google. Tetapi, garis masa operasinya belum diketahui.

Sebaik saja beroperasi, Malaysia akan menyertai 11 negara di mana Google telah membina dan mengendalikan pusat data untuk memberi perkhidmatan kepada pengguna di seluruh dunia.

Gergasi teknologi AS itu melabur lebih banyak di Asia Tenggara, dengan berbilion dolar dilaburkan di rantau ini untuk pertumbuhan.

Bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Corp, Satya Nadella mengumumkan rancangan syarikat itu melabur RM10.5 bilion dalam infrastruktur awan dan AI di Malaysia bagi empat tahun akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.