
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, pihaknya akan menawarkan 49 saksi kepada Najib, sekiranya dia diperintah membela diri.
“Kami memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan menutup kesnya yang bermula pada 2019,” katanya.
Akram berkata, pihak pendakwaan mengambil masa 235 hari untuk membentangkan keseluruhan kesnya.
Najib mula didakwa di Mahkamah Sesyen pada 20 Sept 2018 dan perbicaraan bermula di Mahkamah Tinggi pada 28 Ogos 2019.
Dalam pernyataan pembukaannya, ketua pendakwa Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah, Najib sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB “menggunakan pengaruhnya ke atas lembaga 1MDB untuk menjalankan transaksi luar biasa tertentu secara tergesa-gesa dengan tidak wajar”.
“Satu sandiwara yang rumit telah dimainkan … objektifnya adalah untuk memperkayakan dirinya sendiri,” kata Gopal.
Beliau berkata, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, merupakan watak penting dalam ‘sandiwara’ itu.
Pihak pendakwaan berkata, ia akan membuktikan fakta yang mampu mewujudkan inferens bahawa Low dan Najib bertindak sepihak pada setiap masa.
Hakim Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pihak-pihak untuk memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada 26 Julai, dan mengemukakan jawapan sebelum 8 Ogos.
Penghujahan lisan akan diadakan selama empat hari bermula 19 Ogos.
Sequerah juga memperuntukkan lapan hari tambahan pada September untuk pihak-pihak menyelesaikan penghujahan lisan jika perlu.
Beliau perlu memutuskan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, dan jika berjaya, Najib akan diperintah membela diri.
Najib berdepan 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion didakwa dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.