
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye berkata Tetuan Zantalite Enterprise Sdn Bhd mengemukakan PKM asrama pekerja pada 16 Nov tahun lepas sebelum menarik balik permohonan itu pada 9 Mei lalu.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meluluskan PKM bagi cadangan mendirikan satu blok bangunan asrama pekerja 27 tingkat yang mempunyai 512 unit di Teluk Kumbar yang dikemukakan oleh satu lagi pemaju iaitu Tetuan Chong Company Sdn Bhd.
“Namun, kelulusan Kebenaran Merancang (Borang C1) masih belum dikeluarkan oleh MBPP kepada Tetuan Chong Company kerana syarikat ini belum memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh MBPP,” katanya ketika menggulung ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Beliau menjelaskan semua projek asrama perlu mematuhi syarat-syarat teknikal yang ditetapkan dalam PKM dan permohonan yang dikemukakan harus melaksanakan Kajian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Impak Lalu Lintas (TIA).
Kerajaan negeri sebelum ini mengesahkan menerima dua permohonan daripada pemaju bagi projek pembinaan asrama pekerja di kawasan Teluk Kumbar melibatkan pembinaan satu blok bangunan asrama pekerja setinggi 27 tingkat oleh Tetuan Chong Company dan penambahan ketinggian bangunan 30 tingkat oleh Tetuan Zantalite Enterprise.
Sehubungan itu, penduduk di sekitar kawasan berkenaan membantah perancangan pembinaan asrama termasuk menggunakan tindakan perundangan di mahkamah selain menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Feb lepas.