Malaysia, Republik Kyrgyz mahu kukuh kerjasama TVET, STEM

Malaysia, Republik Kyrgyz mahu kukuh kerjasama TVET, STEM

Malaysia setuju latih lebih ramai peserta dari Republik Kyrgyz dalam pelbagai bidang menerusi MTCP, kata PM.

anwar-Kyrgyz Muratbek Azymbakiev
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Penasihat Dasar Luar Presiden Republik Kyrgyz Muratbek Azymbakiev di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Malaysia dan Republik Kyrgyz bersetuju mengukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan ketika beliau menerima kunjungan hormat daripada Penasihat Dasar Luar Presiden Republik Kyrgyz Muratbek Azymbakiev di Perdana Putra, Putrajaya.

“Berhubung Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), Malaysia bersetuju melatih lebih ramai peserta dari Republik Kyrgyz dalam pelbagai bidang,” katanya dalam hantaran Facebook.

Perdana Menteri berkata, pertemuan itu turut membincangkan pelantikan penasihat khas dari Malaysia ke Republik Kyrgyz untuk membantu dalam pembangunan ekonomi negara Asia Tengah itu.

Dalam hal ini, katanya, beliau memaklumkan beberapa calon berpotensi telah dikenal pasti dan sedang dalam proses disenarai pendek oleh Malaysia.

Menurut Anwar, Muratbek turut menyampaikan surat dan cenderahati daripada Presiden Republik Kyrgyz dan Ketua Jemaah Menteri.

“Saya titipkan harapan agar hubungan kedua-dua negara terus terjalin lebih erat pada masa akan datang,” katanya.

Semasa lawatan Anwar ke negara itu baru-baru ini, rakan sejawatnya, Pengerusi Menteri-Menteri Kabinet Republik Kyrgyz Akylbek Zhaparov menzahirkan hasrat supaya Malaysia melantik seorang penasihat kepada kerajaan negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.