
Jurucakap kerajaan perpaduan itu berkata, Menteri Pertahanan Khaled Nordin memaklumkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengenai status terkini laporan penuh nahas yang berlaku pada 23 April itu.
“(Khaled) memaklumkan, laporan telah siap dan akan diterbitkan esok … boleh nantikan pengumuman penuh hasil siasatan nahas helikopter itu,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri.
Dalam kejadian tersebut, 10 anggota dan pegawai tentera laut, terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec, terkorban selepas kedua-dua helikopter itu bergesel dan terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat bersempena Ulang Tahun TLDM ke-90 di Lumut.
Sebuah lembaga siasatan kemudian ditubuhkan untuk mengenal pasti punca sebenar nahas tersebut.
Laporan interim pada 9 Mei lepas mengesahkan kesemua kru udara yang terlibat dalam nahas itu berada dalam keadaan yang baik untuk mengendalikan pesawat.
Kedua-dua helikopter itu turut didapati berada dalam keadaan selamat untuk terbang pada hari kejadian.