MMA gesa mesyuarat Kabinet esok selesai isu program laluan selari

MMA gesa mesyuarat Kabinet esok selesai isu program laluan selari

Persatuan Perubatan Malaysia berkata isu itu tidak seharusnya dibiarkan berlanjutan.

azizan abdul aziz
Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata ketika ini terdapat hanya 14 pakar bedah kardiotoraks berkhidmat di hospital awam di seluruh negara tetapi beribu-ribu pesakit menunggu untuk menjalani prosedur itu.
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan segera menyelesaikan isu berkaitan program laluan selari yang dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok.

Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata perkara itu penting kerana ketika ini hanya terdapat 14 pakar bedah kardiotoraks berkhidmat di kemudahan kesihatan awam di seluruh negara tetapi beribu-ribu pesakit menunggu untuk menjalani prosedur kardiotoraks.

“Perkara ini tidak seharusnya dibiarkan berlanjutan lagi kerana negara dalam keadaan terdesak memerlukan pakar,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Ahad lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata isu berterusan mengenai program laluan selari akan dibincang Jemaah Menteri pada Rabu ini.

MMA sebelum ini menggesa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengutamakan kesihatan awam dengan membuka sementara program pembedahan kardiotoraks kepada bukan Bumiputera ketika berlakunya kekurangan pakar.

Sebagai tindak balas, Majlis Perwakilan Pelajar UiTM melancarkan bantahan terhadap gesaan kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks dengan menggesa semua pelajar memakai pakaian hitam.

Badan pelajar itu kemudiannya memohon maaf kerana menyebabkan ‘salah faham’ berhubung bantahannya baru-baru ini.

Portal berita kesihatan CodeBlue baru-baru ini melaporkan bahawa UiTM bersedia untuk menerima pelatih bukan Bumiputera ke dalam program pembedahan kardiotoraksnya secara ‘sementara’.

Cadangan itu dikemukakan oleh Dr Raja Amin Raja Mokhtar dari Fakulti Perubatan UiTM untuk menyelesaikan kebuntuan yang timbul selepas Majlis Perubatan Malaysia (MPM) enggan mengiktiraf kelayakan yang diperoleh di bawah program laluan selari Kementerian Kesihatan.

Pada 20 April, Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir meminta MPM dan pakar terbabit menyelesaikan pertikaian mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.