
Azam Baki berkata demikian selepas Anwar Ibrahim berkata siasatan boleh dijalankan sekiranya suatu laporan dibuat, dan beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Buat masa ini, saya tidak nampak ada kes. Sekiranya beliau tanya saya, saya akan beritahu tiada apa untuk saya siasat,” katanya, dan menambah beliau sedia menunjukkan dokumen yang berkenaan berhubung perkara itu.
“Katakanlah ada beberapa petunjuk baharu datang kepada kami nanti… ada beberapa isu untuk kami siasat, saya akan siasat,” jelasnya dalam pertemuan dengan wakil-wakil media dalam talian.
Azam mengambil maklum perdana menteri menegaskan beliau tidak mahu mencampuri urusan pihak berkuasa.
“Ia terserah kepada kami. Kami pihak berkuasa,” katanya.
Sebelum ini, persoalan timbul apabila Asia Mobiliti Technologies Sdn Bhd menjadi salah satu daripada dua syarikat yang diberikan projek oleh kerajaan Selangor untuk suatu sistem transit, tanpa melalui tender terbuka.
CEO syarikat itu Ramachandran Muniandy, suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Asia Mobiliti dan BadanBas Coach Sdn Bhd dipilih untuk perkhidmatan ‘Demand-Responsive Transit’ (DRT) bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan perbatuan pertama dan terakhir di Selangor.
Semalam, SPRM berkata ia tidak akan siasat kemungkinan ‘konflik kepentingan’ dalam pelantikan itu, kerana ia bukan suatu kesalahan.
Azam menjelaskan bahawa Yeoh tiada kaitan dengan kerajaan Selangor, yang memberikan kontrak itu.
Azam pertahan kenyataan
Dalam pada itu, beliau mempertahankan responsnya sebagai menurut undang-undang dan berdasarkan fakta.
“Kerajaan negeri yang memutuskan perkara itu… bukan keputusan dia (Yeoh),” kata Azam.
“Justeru, ia bukan satu kesalahan. Adakah ia betul dari segi moral? Saya tidak tahu. Saya tidak mahu bahas sudut itu. SPRM tidak boleh terlibat dalam perbahasan itu.
“Jika ahli politik mahu berhujah bahawa ia salah dari segi moral, terpulang kepada mereka, saya bukan ahli politik.”
Azam berpandangan kenyataannya berhubung perkara itu merupakan penjelasan paling jelas yang beliau boleh berikan kepada masyarakat.