Bersatu boleh ganding bahu jika Zahid berundur, kata ahli MPT

Bersatu boleh ganding bahu jika Zahid berundur, kata ahli MPT

Ahli MPT Rafiq Abdullah berkata, Umno harus berubah dan mempunyai dasar yang selari.

Ahli MPT Bersatu Rafiq Abdullah berkata, parti itu sanggup bersama dengan Umno dengan syarat ia meninggalkan DAP dan PKR. (Gambar Bersatu)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu berkata, parti itu tidak akan bersama Umno jika masih dipimpin Zahid Hamidi, yang menurutnya menjerumuskan parti Melayu itu ke dalam ‘pasir jerlus’.

Mengulas kenyataan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah bahawa ahli Bersatu dan PAS patut bersatu semula bawah Umno, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Rafiq Abdullah berkata, orang Melayu tidak mahu ikut Umno kerana sokongan Zahid kepada DAP.

“Kalau Umno berubah menjadi lebih baik, dah tentu orang Melayu akan ikut Umno. Untuk Umno menjadi lebih baik, Zahid perlu berundur sebab dia bawa Umno ibarat masuk pasir jerlus – lagi bergelut, lagi dalam terjerumus,” katanya kepada FMT.

“Kalau Umno berubah dengan mempunyai dasar yang selari dengan kita … kita boleh (bekerjasama),” kata Rafiq.

Tambahnya, Bersatu sanggup bersama dengan Umno dengan syarat ia meninggalkan DAP dan PKR.

“Maka kita balik kepada pelan asal kita yang kita nak buat dalam Muafakat Nasional (MN) – penggabungan PAS-Bersatu-Umno … dan kita akan pimpin negara ini,” katanya.

Umno, parti komponen Barisan Nasional, menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), yang dianggotai DAP dan PKR, serta Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah.

MN ditubuhkan pada Sept 2019 oleh Umno dan PAS susulan kejayaan PH pada PRU14. Pakatan itu bagaimanapun dikatakan terkubur, susulan hubungan tegang antara Umno dan PAS apabila PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu pada 2020.

Usaha PAS membawa masuk Bersatu menyertai MN bagaimanapun dibantah Umno, yang menganggap Bersatu berusaha ‘membunuhnya’.

Semalam FMT melaporkan Tengku Razaleigh berkata, Bersatu dan PAS hanya mendapat sokongan besar pengundi Melayu hari ini disebabkan rasa tidak puas hati terhadap ketidakupayaan Umno berpegang kepada prinsipnya.

Katanya, pengundi Melayu ‘semakin putus asa dengan keupayaan pemimpin kita kekal pada jalan lurus dan betul dalam perjuangan mereka’.

Demi masa depannya, Tengku Razaleigh berkata, Umno perlu mengajak orang Melayu kembali ke pangkuannya serta ahli parti politik serpihannya seperti Bersatu dan PAS bersatu semula bawah Umno.

Mengulas lanjut, Rafiq berkata, kenyataan Tengku Razaleigh bahawa orang Melayu semakin putus asa dengan Umno amat tepat, namun menolak andaian PN hanya mengambil kesempatan atas kelemahan lawan, berbanding mempamerkan kekuatan sebenar.

“Kuat tak kuat boleh berubah dari semasa ke semasa. Umno suatu masa dulu pun kuat,” katanya.

“Bila Umno nak sedar orang Melayu ini dari PRU lepas tak nak berharap dekat Umno dah?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.