Wan Rosdy diberitahu tentang adendum berkait penahanan di rumah

Wan Rosdy diberitahu tentang adendum berkait penahanan di rumah

Jabatan Peguam Negara membantah cubaan Najib Razak memasukkan afidavit Wan Rosdy Wan Ismail kerana ia dikemukakan amat lewat.

Naib Presiden Umno, Wan Rosdy Wan Ismail, berkata beberapa pemimpin Umno berada di kediaman Zahid Hamidi pada 30 Jan lepas. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Naib Presiden Umno, Wan Rosdy Wan Ismail, berkata beliau diberitahu oleh ahli Majlis Kerja Tertinggi Tengku Zafrul Aziz bahawa Yang di-Pertuan Agong terdahulu mengeluarkan suatu adendum untuk membenarkan Najib Razak menjalani baki tempoh pemenjaraannya di rumah.

Bagaimanapun, Wan Rosdy berkata beliau tidak mempunyai salinan adendum itu kerana ia dokumen rahsia dan belum dilaksanakan.

“Saya beritahu mereka apa yang Tengku Zafrul katakan kepada saya pada hari itu. Malah Zahid mengesahkan itu yang dikatakan Zafrul,” kata Wan Rosdy, merujuk kepada Presiden Zahid Hamidi.

Ketika mengesahkan afidavitnya yang menyokong permohonan Najib untuk semakan kehakiman yang difailkan awal bulan lepas, Wan Rosdy berkata pemimpin Umno lain di kediaman Zahid pada 30 Jan ialah Azalina Othman Said, Johari Ghani, dan Ahmad Maslan.

Jabatan Peguam Negara (AGC) bagaimanapun membantah cubaan Najib untuk memasukkan afidavit Wan Rosdy dalam prosiding itu, kerana ia dikemukakan amat lewat.

Dalam email kepada Mahkamah Tinggi pada 23 Mei lepas, AGC berkata Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 tidak membenarkan pemfailan lewat, terutama apabila mahkamah sivil telah mendengar penghujahan lisan pihak-pihak berkenaan pada 17 April lepas.

Hakim Amarjeet Singh menetapkan 5 Jun depan untuk memutuskan sama ada Najib patut dibenarkan untuk meneruskan permohonannya.

Pada 2 Mei lalu, Amarjeet enggan membenarkan Tengku Zafrul memfailkan suatu afidavit untuk ‘membetulkan kesilapan tertentu’ berhubung dakwaan ‘perintah tambahan’ yang membenarkan Najib Razak menjalani penahanan di rumah.

Peguam kanan persekutuan, Shamsul Bolhassan, berkata mahkamah menolak permohonan itu atas alasan tiada peruntukan undang-undang untuk individu bukan pihak dalam prosiding semakan kehakiman memfailkan afidavit.

Mahkamah bagaimanapun berkata Tengku Zafrul dan peguamnya boleh mencuba sekali lagi jika Najib dibenar meneruskan cabaran undang-undangnya.

Dalam permohonan difailkan pada 1 April, Najib mendakwa Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengeluarkan ‘perintah tambahan’ semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan, sehari sebelum penggal baginda berakhir.

Najib mendakwa ‘perintah tambahan’ itu tidak diumumkan oleh lembaga pada 2 Feb dan kerajaan melakukan penghinaan kerana tidak melaksanakan perintah tambahan itu.

Najib juga berkata peguamnya menulis surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Zahid selaku timbalan perdana menteri, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, dan Azalina selaku menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) untuk mengesahkan sama ada ‘perintah tambahan’ itu wujud.

Mereka tidak menerima sebarang jawapan, katanya.

Najib mahu mahkamah memaksa kerajaan melaksanakan perintah tambahan itu, jika wujud, dan meletakkannya di bawah tahanan rumah.

Dalam pada itu, Zahid memfailkan afidavit untuk menyokong permohonan Najib, dengan mendakwa Tengku Zafrul menunjukkan kepadanya “perintah tambahan” semasa pertemuan mereka.

Katanya, Tengku Zafrul menunjukkan kepada beliau salinan ‘perintah tambahan’ tersebut pada telefonnya yang diambil daripada salinan asal ditunjukkan kepadanya oleh Sultan Abdullah.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 2 Feb mengumumkan hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC International Najib dikurangkan kepada enam tahun manakala dendanya RM210 juta diturunkan kepada RM50 juta.

Najib, 70, sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang dan dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.