
Ditanya sama ada SPRM akan menyiasat pelantikan itu, Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata Asia Mobiliti Technologies Sdn Bhd mendapat kontrak daripada kerajaan Selangor bukan suatu kesalahan.
“Dari segi undang-undang, jika seseorang mendapat kontrak atau manfaat daripada mana-mana entiti kerajaan, tetapi individu berkenaan tiada kaitan dengan entiti itu, maka ia bukan suatu kesalahan,” katanya kepada pemberita pada suatu acara di ibu pejabat Tenaga Nasional Berhad.
“Suaminya (Yeoh) mendapat kontrak daripada kerajaan Selangor dan dia (Yeoh) adalah menteri belia dan sukan, jadi tiada kaitan.
“Kontrak itu diberikan oleh entiti yang tiada kaitan dengan Yeoh. Jika kementerian memberikan kontrak kepada syarikat suaminya, itu cerita lain.”
Sebelum ini, persoalan timbul apabila Asia Mobiliti menjadi salah satu daripada dua syarikat yang diberikan projek oleh kerajaan Selangor tanpa melalui tender terbuka.
CEO syarikat itu Ramachandran Muniandy, suami kepada Yeoh.
Terdahulu, Asia Mobiliti mempertahankan pelibatan dalam perkhidmatan ‘Demand-Responsive Transit’ (DRT) kerajaan Selangor dan berkata hanya dua syarikat di negara ini yang layak untuk menyediakan perkhidmatan yang ditawarkan itu.
Katanya dalam kenyataan, tender terbuka untuk proses pelantikan program Mobility Selangor akan mencipta satu monopoli di negeri ini, memandangkan ia “perkhidmatan baharu yang amat khusus”.
Asia Mobiliti dan BadanBas Coach Sdn Bhd dipilih untuk perkhidmatan DRT bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan perbatuan pertama dan terakhir di Selangor.