
Perintah larangan bersuara itu dikeluarkan pada 14 dan 20 Mei lalu yang menghalangnya mengulas kes fitnah jenayahnya.
Peguam Rafique Rashid yang mewakili Badrul berkata, rayuan itu difailkan pada 23 Mei lalu bagi kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 kerana penerbitan berunsur hasutan dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.
Menurutnya, tiada tarikh ditetapkan lagi untuk perbincangan di Mahkamah Rayuan.
“Saya ingin meminta Mahkamah Rayuan mendapatkan arahan sama ada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Johor Bahru betul dari segi undang-undang,” katanya dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini.
Beliau berkata, Badrul perlu diberikan sedikit ruang dari segi kebebasan bersuara, walaupun ia tidak mutlak.
Pada 14 Mei lalu, Hakim K Muniandy membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permintaan mereka bagi perintah larangan bersuara.
Badrul didakwa melakukan fitnah jenayah di Mahkamah Sesyen pada 29 April lalu, di mana dia dituduh menerbitkan kenyataan yang mempunyai sebab untuk mempercayai akan merosakkan nama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Mahkamah Sesyen membenarkan Badrul diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, tetapi menolak permohonan pihak pendakwaan untuk mengenakan perintah larangan bersuara terhadapnya. Pihak pendakwaan kemudian memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi.
Badrul turut didakwa atas satu pertuduhan menghasut.
Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 20 Mei lalu mengeluarkan perintah larangan bersuara berasingan yang menghalangnya mengulas kes hasutannya membabitkan laporan Bloomberg mengenai rancangan dikatakan untuk projek kasino di Forest City.
Berita Harian melaporkan Hakim Abu Bakar Katar membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen menolak permohonan perintah larangan bersuara atas alasan jika perintah itu tidak dikeluarkan Badrul berisiko mengulangi kenyataan berbaur hasutan sama, malah terhadap Agong.