Tumpu program ekonomi rakyat, ganda penjimatan RM4 bilion subsidi

Tumpu program ekonomi rakyat, ganda penjimatan RM4 bilion subsidi

Abu Sufian Abu Bakar berkata pemerkasaan program usahawan boleh menjadi kunci memastikan penjimatan penyasaran subsidi dirasai ramai.

Program mesin layan diri di bawah Inisitiaf Pendapatan Rakyat diperkenalkan Kementerian Ekonomi membantu golongan B40 meningkatkan pendapatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penjimatan RM4 bilion setahun daripada penyasaran subsidi bahan api bermula diesel di Semenanjung boleh digunakan untuk mengembangkan ekonomi negara yang manfaatnya dinikmati rakyat bagi jangka panjang, kata ahli ekonomi.

Menyifatkannya sebagai langkah tepat, namun Abu Sufian Abu Bakar, bekas pensyarah kewangan dan perbankan dari Universiti Utara Malaysia berpendapat perlu ada mekanisme tepat dengan memfokuskan kepada pemerkasaan ekonomi rakyat.

Beliau mencadangkan sebahagian penjimatan itu dibelanjakan dalam program keusahawanan antaranya Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi yang kesannya dapat dilihat apabila ramai pesertanya mencatatkan pendapatan memuaskan.

“Kerajaan boleh galakkan mereka dengan beri bantuan atau geran mudah supaya mereka boleh memulakan perniagaan sendiri.

“Bila ada perniagaan sendiri boleh sedia peluang kerja kepada orang ramai, dalam jangka panjang bila rakyat boleh berdikari kerajaan tidak perlu lagi belanja besar untuk program bantuan,” katanya kepada FMT.

Sufian turut menyentuh keperluan penambahbaikan jaringan jalan raya dan penyediaan bangunan premis perniagaan untuk menyokong usaha perkembangan ekonomi.

“Pastikan infrastruktur rakyat diselenggara dengan baik.. jalan raya, tempat meniaga semua ini perlu seiring kerana kemudahan infrastruktur ini berkait rapat dengan cara bagaimana kita nak melahirkan rakyat produktif,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata sentimen pengguna dijangka berhati-hati didorong jangkaan kenaikan harga susulan penyasaran subsidi, walaupun kerajaan telah memperkenalkan mekanisme untuk mengawal kos operasi.

“Jangkaan kenaikan harga barang akan menyebabkan kuasa beli pengguna akan terjejas dan di sini pentingnya penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan supaya pesalah akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Bagi meredakan sebarang ketidaktentuan, beliau mencadangkan sebahagian hasil penjimatan penyasaran subsidi digunakan untuk meningkatkan penyaluran sumbangan tunai seperti sumbangan tunai rahmah (STR) dan sumbangan asas rahmah (Sara).

“Ia amat penting bagi meminimumkan kesan kepada pengguna,” katanya.

Selasa lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan dengan terus menyediakan subsidi diesel kepada peniaga menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel.

Insentif itu melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Langkah terbabit menyusul pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api bermula diesel yang dijangka dapat menjimatkan negara RM4 bilion setahun untuk digunakan bagi membantu golongan sasar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.