
Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata MCA diakui telah mempunyai tapak kukuh dari segi ekonomi, aset dan jentera selepas 75 tahun ditubuhkan yang mungkin boleh membantu mencapai hasrat PN memenangi undi bukan Melayu.
“Gerakan, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Bersekutu Bersatu tidak ada taring.
“Dua entiti itu (MIPP dan Bersekutu Bersatu) masih baharu dan tak ada pengikut serta modal,” katanya kepada FMT.
Rabu lalu, media melaporkan Azmin berkata gabungan itu kini sedang mengkaji beberapa strategi untuk menarik sokongan bukan Melayu termasuk kemungkinan bekerjasama dengan MCA.
Ketua pembangkang DUN Selangor itu berkata perkara berkenaan tidak mustahil memandangkan parti komponen BN itu seperti tersisih kerana fokus hanya diberi kepada DAP sahaja.
Namun Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong berkata parti itu kekal bersama Barisan Nasional (BN) dan belum memikirkan membentuk jajaran politik baharu dengan gabungan lain termasuk PN.
Namun kata Kartini, jika berjaya menarik MCA menyertai PN sekali pun mungkin tidak mencukupi untuk mencabar kekuatan DAP dalam memenangi undi bukan Melayu terutama komuniti Cina.
“Cubaan PN bekerjasama dengan MCA sebenarnya kerana mereka parti terawal menjaga kepentingan komuniti Cina.
“Cuma MCA pun kini ibarat telah hilang ‘taring’ kerana majoriti orang Cina mahu parti lebih aktif dan lantang mempertahankan bahasa dan budaya mereka…ia dikuasai DAP kini,” katanya.
Zaireeni Azmi dari Universiti Sains Malaysia pula berpandangan penyertaan MCA ke PN jika menjadi realiti tidak akan memberi kesan besar kepada pembangkang menarik sokongan bukan Melayu.
Menurutnya, ini kerana ketika ini tiada tokoh mempunyai ‘wow factor’ dalam MCA untuk menarik sokongan bukan Melayu, walaupun diakui banyak jasanya kepada pembangunan negara dan masyarakat Cina.
“Mungkin ada nilai tambah tetapi beza banyak atau sedikit…saya tak nampak kemasukan itu beri kesan besar, jadi PN tak boleh harap MCA untuk tarik bukan Melayu.
“Kena cari pendekatan tarik pengundi komuniti lain, contohnya tonjolkan pemimpin bukan Melayu jadi jurucakap dalam sesuatu isu bukan hanya terhad orang tertentu sahaja,” katanya.