
Presidennya Amali Munif Rahmat berkata ini kerana ada pengusaha bas sekolah mendaftarkan perkhidmatan mereka di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
“Seperti pertubuhan anak yatim, mereka berdaftar dengan JPPM, manakala bas sekolah milik koperasi mereka daftar dengan SKM, di Semenanjung ada yang tidak berdaftar dengan SSM. Di Sabah Sarawak pula mereka berdaftar dengan PBT.
“Kalau subsidi yang diterima oleh pengusaha bas sekolah dapat RM1.88 seliter dan pada harga pam 2.30 seliter, pengusaha bas lain yang tak berdaftar dengan SSM dah rugi. Mereka rugi 42 sen setiap liter,” katanya kepada FMT.
Amali berkata pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada kerajaan berhubung gesaan tersebut bulan depan.
Selasa lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan terus menyediakan subsidi kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel, melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Sepuluh kenderaan pengangkutan itu melibatkan bas sekolah, bas ekspres, bas henti-henti, bas pengantara, bas mini, kereta sewa, teksi, van atau lori mayat, ambulans dan bomba.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) Mohamad Ashfar Ali menyambut baik pengumuman berkenaan namun menggesa kerajaan meningkatkan pemberian kuota bulanan diesel bersubsidi bagi bas ekspres dan bas henti-henti.
Menurutnya, kadar diberikan kerajaan ketika ini iaitu 1,440 liter bagi bas henti-henti dan 2880 liter bagi bas ekspres dengan harga diesel RM1.88 seliter untuk tempoh sebulan, adalah tidak mencukupi ditambah dengan tiada kenaikan tambang bas sejak 2008.
“Kita minta kerajaan naikkan kuota kepada 4,000 liter bagi bas henti-henti dan 6,000 liter bagi bas ekspress dengan harga RM1.50 seliter.
“Pada masa ini kuota sedia ada hanya mampu bertahan sehingga 15 hari sahaja dan ia tidak cukup dari segi harga dan jumlah liter yang kerajaan berikan,” katanya.
Jelasnya lagi, permohonan bagi meningkatkan jumlah kuota tersebut telah dihantar kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pengangkutan bagaimanapun sehingga kini tiada maklum balas diterima.