
“Kami akan mengeluarkan kenyataan penuh pada Isnin. Ia dilakukan mengikut cara yang betul. Kita tidak terlibat dalam perkara yang tidak beretika,” katanya di media sosial.
Kenyataan Premesh itu dikeluarkan ketika timbul persoalan berhubung proses tender memandangkan Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobiliti Ramachandran Muniandy adalah suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Asia Mobiliti menjadi antara satu daripada dua syarikat dipilih menyediakan pengangkutan awam bagi batuan pertama dan terakhir di negeri itu.
Pada Jumaat, Exco Pelaburan, Perdagangan, dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata dua syarikat – Asia Mobiliti dan BadanBas Coach – telah dipilih menjalankan sistem itu.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pembentangan kepada jawatankuasa pengangkutan negeri dan berdasarkan pengalaman mereka melaksanakan konsep itu.
Premesh, bekas ketua pegawai eksekutif portal berita Malaysiakini, berkata Ramachandran mempunyai ‘latar belakang kukuh dalam perniagaan dan pembangunan perisian’.
“Ramachandran telah melakukan kerja terbaik untuk membina pasukan hebat, memenangi anugerah, dan memperoleh pelbagai pusingan dana,” katanya.
Sebelum ini, pengguna X @RakyatAduan bertanya kepada kerajaan Selangor bagaimana sebuah syarikat mempunyai kaitan rapat dengan menteri boleh diberikan projek itu.
Warganet juga bertanya sama ada terdapat tender terbuka dan Asia Mobiliti dipilih secara merit.