Pearly-Thinaah tersungkur pada separuh akhir Malaysia Masters

Pearly-Thinaah tersungkur pada separuh akhir Malaysia Masters

Pasangan ranking ke-13 dunia itu tewas kepada Lee Yu Lim-Shin Seung Chan dari Korea Selatan 16-21, 11-21.

Tewas pada peringkat suku akhir Malaysia Masters hari ini, Pearly Tan-M Thinaah akan mengalih tumpuan menghadapi Terbuka Singapura bermula Selasa ini, diikuti Terbuka Indonesia minggu depan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah gagal mengakhiri kemarau gelaran selama 18 bulan dalam siri Jelajah Dunia apabila terkandas pada peringkat separuh akhir Malaysia Masters hari ini.

Pasangan ranking ke-13 dunia itu, yang kali terakhir menjulang kejuaraan Terbuka Perancis pada Okt 2022, dikejutkan dengan kekalahan kepada beregu ranking ke-26 dari Korea Selatan, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan, 16-21, 11-21 selepas bertarung selama 45 minit di Axiata Arena di sini.

Menanti Lee-Shin di final esok ialah pilihan utama, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun, yang menewaskan Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria 21-14, 21-16 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Pearly-Thinaah, yang menewaskan lawan Korea Selatan itu pada satu-satunya pertemuan mereka sebelum ini di Masters Kumamota di Jepun tahun lepas, berkata peningkatan kelajuan pukulan lawan memberikan tekanan.

“Secara fizikal semuanya baik, cuma dari segi strategi yang perlu kami usahakan,” kata Pearly.

“Kami teruja untuk kembali semula ke gelanggang kerana sudah lama tidak menyertai kejohanan sejak Kejohanan Asia awal April lalu.”

Beliau berkata, meskipun tewas, tahap komunikasi mereka di gelanggang kini lebih baik.

Sementara itu, Thinaah berkata, mereka perlu lebih fokus menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Selepas ini, pemenang emas Sukan Komanwel Birmingham 2002 itu akan mengalih tumpuan menghadapi Terbuka Singapura bermula Selasa ini, diikuti Terbuka Indonesia di Jakarta minggu depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.