Masters Malaysia: Zii Jia, Axelsen buat perhitungan di final

Masters Malaysia: Zii Jia, Axelsen buat perhitungan di final

Pemain nombor 10 dunia itu akan berentap dengan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen.

Lee Zii Jia menumpaskan pemain Hong Kong Angus Ng Ka Long, 21-15, 21-17, dalam saingan separuh akhir Masters Malaysia. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas juara All England Lee Zii Jia hanya selangkah lagi untuk merangkul gelaran sulung di laman sendiri selepas mara buat pertama kali di pentas final Masters Malaysia malam ini.

Didorong oleh sokongan padu penyokong tuan rumah di Arena Axiata di Bukit Jalil, pemain nombor 10 dunia itu, yang mengalami kekejangan ketika menewaskan pemain Denmark Anders Antonsen semalam, menang 21-15, 21-17 ke atas pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long dalam saingan separuh akhir dalam aksi ulangan final Terbuka Thailand, Ahad lalu.

Juara Terbuka Thailand, Zii Jia, bagaimanapun, berdepan tugas berat pada perlawanan akhir esok apabila dijadual bertemu pemain nombor satu dunia Denmark, Viktor Axelsen.

Axelsen sedang memburu gelaran pertamanya tahun ini untuk menamatkan kemarau gelaran hampir enam bulan selepas kali terakhir memenangi kejuaraan siri Jelajah Akhir Dunia 2023 Disember lalu.

“Sejujurnya, ini bukan kali pertama saya membuat penampilan di final dua kali berturut-turut tetapi ini amat bermakna bagi diri saya di tempat sendiri kerana tidak pernah menyertai (mana-mana acara Jelajah Dunia) di Malaysia.

“Saya tidak fikir terlalu jauh tentang apa yang akan berlaku esok. Saya hanya mahu menenangkan diri, mendapatkan rehat yang secukup dan makan bagi menastikan kembali cergas. Selagi tiada kecederaan serius, saya akan beri yang terbaik di gelanggang,” kata Zii Jia kepada pemberita selepas perlawanan.

Mengikut rekod pertemuan, Axelsen menang enam daripada sembilan pertemuan dengan Zii Jia termasuk kali terakhir pada saingan Piala Thomas di Chengdu, China, bulan lalu.

Sementara itu, dalam satu lagi separuh akhir sebelum itu, Axelsen hanya mengambil masa 38 minit untuk menyingkirkan Lu Guang Zu dari China 21-16, 21-13 untuk kemenangan keenamnya dalam banyak perlawanan menentang pemain nombor 19 dunia itu dalam percubaan untuk menjadi wakil Eropah pertama memenangi kejuaraan Masters Malaysia dua kali selepas kejayaan 2018.

Axelsen, penyandang juara Olimpik, menjanjikan pertarungan epik esok kerana kedua-dua pemain itu mempunyai alasan tersendiri untuk mengintai mahkota Super 500 itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.