Hujan lebat landa KL, pokok tumbang halang laluan

Hujan lebat landa KL, pokok tumbang halang laluan

Pokok besar tumbang di Jalan Bukit Pantai halang tiga laluan menuju ke bangunan Air Selangor.

Pokok besar tumbang di Jalan Bukit Pantai dengan pengguna jalan raya dinasihatkan guna jalan alternatif. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Hujan lebat petang tadi di Kuala Lumpur mengakibatkan pokok tumbang menghalang beberapa laluan di sekitar bandar raya itu.

Menurut Astro Radio Traffic, pokok besar tumbang di Jalan Bukit Pantai, sekali gus menghalang tiga laluan menuju bangunan Air Selangor.

Tidak jauh dari lokasi berkenaan, pokok besar juga menyembah bumi di Jalan Pantai Permai berdekatan Pantai Hill Park di Pantai Dalam, menyaksikan dua laluan menuju ke Kerinchi terhalang.

Tiada kenderaan dikenal pasti dihempap dengan pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif.

Dalam pada itu, Bomba Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata pokok tumbang di Jalan Klang Lama, berhampiran stesen minyak BHP menghempap empat lori tiga tan, namun tiada mangsa terlibat.

Kejadian pokok tumbang juga berlaku di First Residential College Universiti Malaya apabila menghempap tiang elektrik dan menghalang laluan utama. Turut terkesan akibat pokok tumbang adalah di Trellises Apartment dan Jalan Long Yew Koh, Taman Tun Dr Ismail.

“Kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang dilakukan bersama pihak DBKL,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.