
Empat operasi tersebut dilaksanakan bermula 20 Mei hingga 23 Mei, membabitkan polis menerusi Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas Bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) serta beberapa agensi penguatkuasaan lain.
Pengarah JKDNKA Kamarudin Md Din berkata, polis marin Wilayah 5 Sarawak melaksanakan tiga serbuan di Bintulu pada 20 Mei.
“Serbuan pertama berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi dengan penahanan seorang lelaki warga tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Rampasan membabitkan 32,000 liter diesel bersubsidi, 32 tangki IBC dan empat pam minyak berserta hos, dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM140,200, tambahnya.
Sementara itu, dalam serbuan kedua, seorang lelaki tempatan ditahan dan 10,030 liter diesel subsidi, 16 tangki IBC, tiga pam minyak berserta hos, serta sebuah meter digital dirampas, dengan jumlah rampasan dianggarkan RM54,093.
Kamarudin berkata, kedua-dua kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan.
Dalam satu serbuan lain, polis bersama Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras dan rokok tidak bercukai kastam dengan penahanan enam lelaki warga asing.
Rampasan membabitkan 7,172 liter minuman keras pelbagai jenis, 250,000 rokok pelbagai jenis serta dua van, bernilai keseluruhan RM3.118 juta.
Kes disiasat bawah Akta Kastam dan Akta Imigresen.
Kamarudin berkata, serbuan terakhir dilaksanakan pada 23 Mei, dengan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Miri menahan dua lelaki tempatan dan empat lelaki warga asing berhubung kegiatan penyeludupan diesel subsidi.
Antara barangan yang dirampas termasuk 146,720 liter diesel subsidi, dua bot tunda, sebuah kapal tangki minyak, tiga pam minyak berserta hos, dua tangki IB dan sebuah lori “bonded”, dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM32.63 juta.
Kamarudin berkata, sejak 1 Jan hingga semalam, polis menjalankan 82 serbuan di seluruh negara dan menahan 185 orang atas pelbagai kesalahan melibatkan kegiatan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan an bersubsidi, serta penyeludupan hidupan liar.
Rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai kira-kira RM230.62 juta, tambahnya.