Zii Jia singkir Antonsen, layak separuh akhir Malaysia Masters

Zii Jia singkir Antonsen, layak separuh akhir Malaysia Masters

Pemain No 10 dunia itu mencatat kemenangan 21-15, 19-21, 21-11 setelah bertarung selama 84 minit menentang Anders Antonsen dari Denmark.

Lee Zii Jia
Lee Zii Jie mara ke suku akhir Masters Malaysia 2024 selepas menewaskan jaguh India, Kiran George. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas juara Kejohanan Badminton All England Lee Zii Jia mara ke separuh akhir Malaysia Masters 2024 selepas tiga tahun dengan menyingkirkan Anders Antonsen dari Denmark hari ini.

Masih segar daripada memenangi kejuaraan Terbuka Thailand minggu lepas, Zii Jia, yang juga pemain ke-10 dunia, mencatat kemenangan 21-15, 19-21, 21-11 setelah bertarung selama 84 minit menentang juara Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena di sini.

Kemenangan ini yang ketiga dikecapinya menentang pemain nombor empat dunia Antonsen dalam lapan pertemuan, dengan kemenangan pertama diperolehi dalam Kejohanan Malaysia Masters 2020.

Zii Jia yang memburu kejuaraan pertama di negara sendiri akan berdepan Angus Ng dari Hong Kong yang mengejutkan pilihan ketiga Li Shi Feng dari China 21-13, 21-15.

Pencapaian terbaik Zii Jia, 26, dalam Malaysia Masters adalah peringkat separuh akhir pada 2020 apabila tunduk kepada juara pertandingan itu, Kento Momota, manakala pada 2019, beliau mara ke suku akhir.

Bagaimanapun, kempennya berakhir awal dalam edisi lain apabila tersingkir di pusingan pertama pada 2017 dan pusingan kedua pada 2018 dan 2023,

Zii Jia tidak mengambil bahagian pada 2022, manakala pada 2021, pertandingan itu telah dibatalkan akibat wabak Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.