Kg Kaiduan jadi Kampung Angkat Madani KPDN

Kg Kaiduan jadi Kampung Angkat Madani KPDN

RM2.5 juta yang diperuntukkan akan digunakan untuk meningkatkan tahap prasarana dan ekonomi penduduk kampung.

DATUK ARMIZAN MOHD ALI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali meniti jambatan gantung ketika menghadiri majlis pelancaran Kampung Angkat Madani dan Pesta Kaamatan Kampung Kaiduan, Papar hari ini. (Gambar Bernama)
PAPAR:
Kampung Kaiduan di sini dipilih sebagai Kampung Angkat Madani bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata, pemilihan kampung berkenaan bertepatan dengan syarat program Kampung Angkat Madani kerana mempunyai prasarana bawah 50% keperluan penduduk.

Katanya, melalui peruntukan RM2.5 juta yang disalurkan menerusi program itu, pihaknya akan berusaha meningkatkan tahap prasarana dan ekonomi penduduk kampung itu.

“Kita akan mendengar syor dan pandangan penduduk, apa bentuk keperluan dari segi fizikal atau sosioekonomi yang boleh kita gunakan peruntukan itu, atau bawa mana-mana kementerian persekutuan dan negeri ke kampung ini untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kampung Angkat Madani dan Pesta Kaamatan Kampung Kaiduan hari ini.

Program Kampung Angkat Madani diperkenalkan pada Belanjawan 2024 dengan peruntukan RM100 juta melibatkan kampung yang terpilih di seluruh negara.

Kampung Kaiduan terletak 35km selatan dari Kota Kinabalu.

Disebabkan akses yang agak sukar, Armizan bersama petugas media terpaksa melalui jambatan gantung.

Kampung itu juga boleh dicapai menggunakan pacuan empat roda merentasi sungai yang hanya boleh dilalui jika cetek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.