Keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram ditahan bawah Sosma

Keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram ditahan bawah Sosma

Tempoh reman bapa, ibu, abang, kakak dan adik suspek berusia 21 tahun itu tamat hari ini.

balai polis ulu tiram
Lima ahli keluarga suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram pada Jumaat lalu akan terus ditahan bawah Sosma selama 28 hari bermula hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lima ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram minggu lalu kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), kata Ketua Polis Negara, Razarudin Husain.

Tempoh reman bapa, ibu, abang, kakak dan adik suspek tamat hari ini. Ini bermakna mereka akan terus ditahan bawah Sosma selama 28 hari bermula hari ini.

Razarudin berkata, siasatan awal mendedahkan keluarga suspek membawa fahaman ideologi radikal.

“Apa yang telah disebut oleh saya sebelum ini disyaki bapa (pengikut) JI (Jemaah Islamiah) adalah betul, saya kena maklum begitu untuk siasatan ke arah mana.

“Tetapi bila panggil saksi, kita dapati keluarga ini memang tidak bercampur dengan orang ramai dan anak tidak bersekolah.

“Anak terakhir perempuan tidak sekolah, suspek yang mati ditembak hanya sekolah sampai darjah empat, abang dia sampai tingkatan lima, kakaknya pula darjah enam. Jadi, fahaman dan ideologi dibawa (keluarga berkenaan) adalah fahaman dan ideologi radikal,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, polis sudah mengambil keterangan 47 saksi dan beberapa batang paip dipercayai untuk membuat pistol angin ditemui di rumah suspek.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata.”

Dalam serangan pada 2.54 pagi 17 Mei lalu, dua anggota polis berpangkat konstabel, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban.

Seorang lagi anggota polis berpangkat koperal, Mohd Hasif Roslan cedera ditembak dan dirawat di Hospital Sultan Ismail, manakala suspek ditembak mati di tempat kejadian.

Susulan itu, tujuh individu direman bagi membantu siasatan serangan itu. Mereka terdiri daripada lima ahli keluarga suspek berusia 19 hingga 62 tahun serta dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang hadir di balai polis sejurus sebelum kejadian.

Dua pelajar IPT itu dibebaskan tanpa syarat Selasa lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.