ICJ perintah Israel henti serang Rafah

ICJ perintah Israel henti serang Rafah

Langkah sementara yang diperintahkan pada Mac tidak menangani sepenuhnya keadaan terkini di kawasan Palestin yang terkepung itu, kata PBB.

Seorang penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin di luar ICJ di The Hague hari ini. (Gambar AP)
THE HAGUE:
Hakim di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini memerintahkan Israel agar menghentikan serangan ketenteraan ke atas bandar Rafah di selatan Gaza.

Membacakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), presiden badan itu, Nawaf Salam berkata, langkah sementara yang diperintahkan oleh mahkamah itu pada Mac tidak menangani sepenuhnya keadaan terkini di kawasan Palestin yang terkepung itu, dan syarat telah dipenuhi untuk perintah kecemasan yang baharu dikeluarkan.

“Israel mesti segera menghentikan serangan ketenteraannya” di Rafah, menurut mahkamah itu.

Mahkamah itu menyokong permintaan Afrika Selatan agar Israel diarah menghentikan serangannya di Rafah, seminggu selepas Pretoria menggesa tindakan itu dalam kes yang menuduh Israel melakukan genosid.

Israel sebelum ini berulang kali menolak tuduhan genosid, menyatakan ia sebagai tidak berasas. Israel berhujah di mahkamah, operasinya di Gaza adalah untuk mempertahankan diri dan disasarkan terhadap pejuang Hamas yang menyerangnya pada 7 Okt.

Serangan Israel ke atas bandar Rafah bulan ini memaksa ratusan ribu rakyat Palestin meninggalkan bandar yang menjadi tempat perlindungan bagi kira-kira separuh daripada 2.3 juta penduduknya.

Rafah juga menjadi laluan utama untuk bantuan disalurkan, dan organisasi antarabangsa berkata, operasi Israel mengepung kawasan enklaf itu dan meningkatkan risiko kebuluran.

Peguam Afrika Selatan minggu lepas meminta ICJ agar mengenakan langkah kecemasan, dengan berhujah bahawa serangan Israel ke atas Rafah mesti dihentikan bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat Palestin.

Mahkamah itu ialah badan PBB tertinggi untuk mendengar pertikaian antara negara. Walaupun keputusannya muktamad dan mengikat, pihak-pihak pernah mengabaikannya pada masa lalu.

Mahkamah itu tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.