Demokrasi Malaysia didorong populariti, bukan kecekapan, kata Dr M

Demokrasi Malaysia didorong populariti, bukan kecekapan, kata Dr M

Jika kepimpinan tidak tahu mentadbir maka negara tidak akan berkembang, kata bekas PM itu.

mahathir mohamad
Dr Mahathir Mohamad menzahirkan harapan agar Malaysia ditadbir oleh pemimpin yang lebih berkelayakan pada masa akan datang.
PETALING JAYA:
Demokrasi di Malaysia didorong oleh populariti, bukannya kecekapan, menurut bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Pada masa ini, keadaan Malaysia tidak berapa baik kerana yang terpilih itu popular tetapi tidak semestinya cekap mentadbir negara,” katanya dalam temu bual dengan Nikkei Asia.

Tambahnya, negara tidak boleh membangun jika pemimpinnya tidak tahu mentadbir.

“Bagaimanapun, masih ada harapan pada masa akan datang kerajaan baharu mungkin dibentuk oleh orang lebih muda yang lebih berpendidikan atau lebih layak mentadbir negara,” katanya.

Mengenai perang saudara di Myanmar, Mahathir berkata beliau mempunyai harapan besar untuk masa depan negara itu.

“Pemimpin semasa tidak lama lagi akan sedar mereka perlu berubah, untuk kembalikan kestabilan,” katanya.

“Myanmar ialah negara yang kaya tetapi, malangnya, ia tidak mempunyai kerajaan yang baik. Lambat-laun mereka akan sedar mereka perlu ada demokrasi.”

Beliau turut mengulas, Presiden China Xi Jinping “sangat agresif”, namun penggal perkhidmatannya akan berakhir jua.

“Pemimpin akan bertukar. Mereka tidak kekal selama-lamanya dan akan tiba masanya untuk pemimpin baharu ambil alih, jadi kita boleh jangkakan perubahan apabila ini berlaku,” katanya.

Mahathir berkata, Asean tidak seharusnya memilih pihak dalam perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat.

“China ialah pasaran yang besar dan kita tidak boleh kehilangannya. Jika kita pilih satu pihak, kita akan kehilangan pasaran pihak yang lain.

“Asean patut biarkan kedua-dua negara itu uruskan hal mereka dan tidak libatkan diri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.