CAP gesa batal jualan 2 jenama rempah dari India ada agen penyebab kanser

CAP gesa batal jualan 2 jenama rempah dari India ada agen penyebab kanser

Persatuan Pengguna Pulau Pinang berkata, jenama rempah ratus Everest dan MDH boleh didapati secara meluas di Malaysia, khasnya platform e-dagang.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa KKM menjalankan ujian ke atas dua jenama rempah ratus dari India itu serta rempah lain diimport dari negara terbabit. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menghentikan penjualan dua jenama rempah dari India serta-merta kerana didapati mengandungi agen penyebab kanser, etilena oksida.

Presiden, Mohideen Abdul Kader berkata, jenama rempah ratus Everest dan MDH dijual dengan meluas di Malaysia, khasnya platform e-dagang, selain turut dieksport ke banyak negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Eropah, Asia Tenggara, Timur Tengah serta Australia.

“Memandangkan rempah ratus ini digunakan dengan meluas di Malaysia, KKM bukan saja perlu menjalankan ujian ke atas dua jenama rempah itu, tetapi juga rempah lain yang diimport dari India.

“Ujian terhadap semua jenis rempah dari negara itu perlu bagi mengesan kehadiran etilena oksida dan racun makhluk perosak lain,” katanya dalam kenyataan.

Selain digunakan sebagai racun perosak, etilena oksida turut digunakan untuk mensteril peralatan perubatan dan agen pensterilan dalam rempah untuk mencegah penyakit disebabkan bakteria salmonella dan E Coli.

Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) AS, pendedahan tetap kepada sebatian tidak berwarna dan tidak berbau itu meningkatkan “risiko kanser sel darah putih”.

Reuters melaporkan United Kingdom menjadi negara pertama meningkatkan pemantauan terhadap rempah ratus dari India, disusuli Nepal yang mengharamkan pengimportan dan penjualan dua jenama rempah dari India itu.

Justeru, CAP menggesa pengguna berhati-hati memilih penggunaan rempah dalam masakan sehingga pihak berkuasa India memastikan produk berkenaan selamat untuk dimakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.