Bekas setpol Hamzah didakwa rasuah lagi

Bekas setpol Hamzah didakwa rasuah lagi

Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan RM350,000 membabitkan projek lebih RM381 juta.

Sayed Amir Muzzakkir
Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad (sut biru) di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
SHAH ALAM:
Seorang bekas setiausaha politik kepada Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin didakwa lagi dengan pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42, didakwa meminta suapan RM350,000 daripada Pengarah Urusan Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof untuk mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti bagi infrastruktur, pelayan, perisian serta sistem radio polis, RMPNET bernilai lebih RM381 juta.

Dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di depan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Sayed Amir di pejabat syarikat terbabit di Kawasan Perindustrian Seksyen 7 Shah Alam pada 4 petang Disember 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, selain jaminan dan syarat dikenakan oleh mahkamah semalam diguna pakai dalam kes hari ini.

Sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditetapkan pada 12 Julai ini.

Semalam, Sayed Amir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM350,000 bagi membantu syarikat sama mendapatkan projek berkaitan polis.

Dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Solaris Dutamas pada 4 dan 16 Dis 2020.

Mahkamah membenarkan Sayed Amir diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya menyerahkan pasport sehingga kes selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.