
Pemain nombor 10 dunia itu, yang menyasarkan kejuaraan sulung di tanah air, mengambil masa 44 minit untuk menundukkan pemain ke-36 dunia itu dengan mata 21-13, 21-18, untuk satu pertembungan menentang Juara Terbuka Malaysia 2024, Anders Antonsen dari Denmark, esok.
Terdahulu, Antonsen mengetepikan rakan senegara, Magnus Johannesen, dengan mata 21-12, 21-10 bagi menempah slot ke suku akhir.
Zii Jia gembira dapat melangkah ke suku akhir buat kali pertama sejak 2020, ketika beliau kecundang di tangan johan musim itu, Kento Momota, pada separuh akhir.
“Saya berpendapat beliau (Kiran) akan menjadi bintang. Dia seorang pemain yang bermain secara bertahan, set kedua lebih mencabar tadi, rali pun lebih panjang, tetapi saya bersabar untuk dapatkan kemenangan.
“Esok, pastinya perlawanan yang sukar menentang Antonsen, terutamanya selepas beliau memenangi Terbuka Malaysia pada Januari. Saya perlu bersabar dan pamer prestasi terbaik saya esok,” katanya selepas perlawanan.
Dalam tujuh pertemuan mereka sebelum ini, pemain Denmark itu berjaya sebanyak lima kali termasuk dalam perlawanan terakhir di Masters Jepun pada November, manakala Zii Jia menang pada pusingan pertama Masters Malaysia 2020 dan Terbuka Artik 2023.
Selain pencapaian separuh akhir pada 2020, Zii Jia berjaya menginjak ke suku akhir pada 2019, namun menamatkan kempen awal dalam edisi lain, iaitu pusingan pertama pada 2017, pusingan kedua pada 2018 dan 2023, serta tidak mengambil bahagian pada 2022.
Sementara itu, pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark, turut meraih tempat di suku akhir selepas mengetepikan pemain ke-78 dunia dari Thailand, Panitchaphon Teeraratsakul, dengan mata 21-18, 21-13.
Juara bertahan Olimpik itu akan bertemu Chou Tien Chen dari Taiwan yang menewaskan pemain Jepun, Koo Takahashi, 21-14, 21-5, esok.
Wakil negara lain yang layak ke suku akhir kejohanan Super 500 tersebut ialah beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah; manakala dalam beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; naib johan tahun lepas, Man Wei Chong-Tee Kai Wun; Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani; dan Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King.
Malaysia turut mempunyai tiga wakil dalam beregu campuran iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang juga merupakan pemain negara terakhir merangkul kejuaraan pada 2017.