Tubuh dana wawasan RM1 bilion rangsang sektor PKS, kerajaan diberitahu

Tubuh dana wawasan RM1 bilion rangsang sektor PKS, kerajaan diberitahu

Presiden Samenta William Ng berkata dana itu boleh digunakan untuk melabur dalam IPO baharu dengan saiz tiket RM50,000 sehingga RM1 juta setiap syarikat berdasarkan kriteria diputuskan pengurus dana.

Willian Ng berkata Pelan Hala Tuju 5 Tahun untuk Akses PMKS ke Pasaran Modal mampu membantu melahirkan PKS dan syarikat pertengahan yang mampu menjana RM40 bilion melalui pasaran modal menjelang 2028.
KUALA LUMPUR:
Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) mencadangkan kerajaan untuk menubuhkan Dana Wawasan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang diterajui syarikat berkaitan kerajaan dengan pembiayaan awal sebanyak RM1 bilion.

Presidennya William Ng berkata dana itu boleh digunakan untuk melabur dalam tawaran awam permulaan (IPO) baharu dengan saiz tiket RM50,000 sehingga RM1 juta setiap syarikat berdasarkan kriteria yang diputuskan oleh pengurus dana.

“Ini akan memberi keyakinan kepada PKS untuk disenaraikan kerana ia mampu membantu penilaian harga saham syarikat, sambil memberi peluang kepada rakan kongsi dana yang mengambil bahagian untuk memanfaatkan sektor PKS,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pelancaran Pelan Hala Tuju 5 Tahun untuk Akses PMKS ke Pasaran Modal, yang diumumkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini.

William Ng.

Beliau berkata Samenta mengalu-alukan pelan hala tuju itu yang akan membantu Malaysia mencapai sasaran pelan hala tuju untuk mempunyai PKS dan syarikat peringkat pertengahan yang mampu menjana RM40 bilion melalui pasaran modal menjelang 2028 (daripada RM6.3 bilion pada 2023).

Menurutnya, banyak PKS mendapati bahawa pembiayaan tradisional memakan masa, dari segi permohonan, proses kelulusan dan pengeluaran dana.

“Dengan mempopularkan dan memperkasakan pendanaan awam ekuiti, PKS akan mempunyai pilihan untuk mendapatkan pembiayaan modal kerja pada jangka masa yang lebih singkat dan pantas,” katanya.

Menurutnya, Samenta juga mengalu-alukan komitmen SC untuk meningkatkan kecairan dan harga pasaran saham bagi PKS yang tersenarai, terutamanya dalam pasaran LEAP.

“Saham yang kurang didagangkan dan harga saham yang rendah merupakan halangan utama bagi PKS yang menimbang untuk disenaraikan di Bursa Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.